Berita

APEC 2023: Brunei, Indonesia, Malaysia gesa gencatan senjata segera di Gaza

- Diterbit 18 November 2023 7:45 AM MYT

BRUNEI, Indonesia dan Malaysia menggesa supaya gencatan senjata dan perdamaian kemanusiaan yang berkekalan dicapai di Semenanjung Gaza, dan seterusnya membawa kepada berakhirnya sengketa permusuhan di kawasan berkenaan.

Menurut ketiga-tiga negara itu, mereka menyambut baik deklarasi Golden Gate Declaration oleh pemimpin-pemimpin ekonomi APEC 2023, yang dilihat mencerminkan konsensus mengenai semua isu ekonomi yang menjadi perhatian bersama.

Bagaimanapun memandangkan pengerusi perkumpulan itu mengeluarkan satu Kenyataan Pengerusi berasingan mengenai pencerobohan di Ukraine; Brunei, Indonesia dan Malaysia memutuskan bahawa ia juga akan melakukan perkara yang sama berkaitan Gaza.

“Sehubungan itu kami bersetuju mengeluarkan kenyataan berikut untuk memberikan gambaran yang lebih baik dan adil tentang perbincangan mengenai malapetaka kemanusiaan di Gaza, semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga negara berkenaan, Jumaat.

Ketiga-tiga negara itu secara serius mengakui amat prihatin kepada penderitaan hebat yang dialami orang ramai, dan kesan buruk peperangan serta konflik di seluruh dunia.

“Kami menegaskan bahawa konflik boleh membawa kesan yang signifikan kepada ekonomi global. Kami juga menegaskan bahawa konflik boleh membawa kesan yang signifikan kepada ekonomi global.

“Kami menggesa supaya diwujudkan gencatan senjata dan perdamaian kemanusiaan yang lebih pantas, berpanjangan, serta berterusan, dan seterusnya membawa kepada berhentinya sengketa akibat permusuhan di Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menekankan keperluan untuk penyediaan barangan dan perkhidmatan kepada orang awam dengan kadar segera, berterusan, mencukupi dan tanpa halangan, di seluruh Gaza.

“Kami tegaskan semula, bahawa penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada konflik Israel-Palestin hanya boleh dicapai dengan cara aman, berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan, termasuk Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu A/ES-10/L.25 dan Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu 2712, dan mengikut undang-undang antarabangsa, berdasarkan penyelesaian dua Negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.”

Sementara itu, pada sidang media bersama media Malaysia, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata di samping Brunei, Malaysia dan Indonesia, beberapa ahli ekonomi APEC, seperti Chile juga memberi pandangan yang sama berhubung isu di Gaza.

“Mereka juga berpandangan bahawa krisis di Gaza perlu dihentikan segera kerana ia akan mempengaruhi iklim ekonomi dunia,” katanya.

Beliau berkata ada banyak negara yang senada dengan Malaysia pada persidangan kali ini, bahawa gencatan senjata perlu dilaksanakan segera, dan kekal dengan pendirian supaya krisis di Palestin perlu dimasukkan dalam Deklarasi ‘Golden Gate’ Pemimpin APEC.

Ini adalah selepas cadangan supaya krisis yang berlaku antara Rusia-Ukraine turut dimasukkan dalam kenyataan berkenaan.

“Yang menjadi pertikaian adalah satu aspek lagi, iaitu kenyataan geopolitik, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan negara-negara anggota kerana adanya usaha untuk memberi penekanan semata-mata kepada Ukraine,” katanya.

Beliau berkata sudah tentu hipokrasi ini tidak dipersetujui oleh negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei atas perkiraan bahawa sekiranya mahu diambil perkiraan geopolitik, maka isu yang berlaku di bumi Gaza hendaklah diambil kira.

“Malaysia, Indonesia dan Brunei tidak berkompromi dalam soal itu, dan kemudian terdapat usaha-usaha sehingga pagi tadi, dan saya (mewakili Malaysia), Indonesia serta Brunei turut mengadakan perbincangan terakhir dengan wakil jawatankuasa yang diarah berjumpa dengan kami bertiga.

“Kami tetap tegaskan bahawa, kalau mahu dimasukkan soal geopolitik (dalam kenyataan pemimpin), bermakna kena dimasukkan juga soal Gaza, kenapa mahu dinafikan?

Akhirnya pengerusi perkumpulan itu mengeluarkan satu Kenyataan Pengerusi berasingan mengenai pencerobohan di Ukraine. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas