Fokus

Angkatan Pertahanan Awam beri impak besar

APM turut sama dalam operasi menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Ampang. - Ihsan APM APM turut sama dalam operasi menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Ampang.
- Diterbit 23 Disember 2020 2:59 AM MYT

TIDAK dinafikan, terdapat segelintir masyarakat di Malaysia yang memandang enteng peranan dan fungsi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Malah ada yang mengeluarkan nada jelek apabila mendengar nama tersebut seolah-olah pasukan itu hanya picisan selain membandingkannya dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, APM berjaya membuktikan peranan dan sumbangan mereka setanding petugas barisan hadapan yang lain.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Tanpa APM, pastinya agensi lain yang sedang memerangi wabak sukar mendapatkan bekalan makanan secukupnya.

Peranan tersebut turut diiktiraf Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertindak ‘turun padang’ melawat anggota barisan hadapan APM di Pusat Kawalan COVID-19 Zon Kuala Lumpur di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kuala Lumpur pada 11 April lalu.

APM PELUANG MASYARAKAT BERBAKTI KEPADA NEGARA

MUNGKIN pandangan sinis yang diberikan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) disebabkan penglibatan masyarakat secara langsung menerusi keanggotaan sukarela.

Bagaimanapun, jika diteliti, misinya adalah ‘memperkasa kesiapsiagaan awam untuk keselamatan dan  kesejahteraan negara’.

Malah, ia sejajar dengan objektif iaitu mengurangkan risiko akibat bencana menerusi penyediaan latihan menyelamat kepada orang awam di samping mewujudkan serta mengendalikan sistem amaran bencana.

AMIR

Menurut Ketua Cawangan Khidmat Kecemasan dan Kemanusiaan, Mejar Amirsarifudin Zalman, APM diwujudkan bagi memberi respond kepada bencana dengan cara menubuhkan pasukan ‘First Responder’.

“Selain itu, ia bertujuan membantu dalam aktiviti pembersihan dan pembangunan semula kawasan yang dilanda bencana termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa bencana.

“Untuk makluman, APM mempunyai dua fungsi iaitu semasa peperangan dan semasa bencana.

“Semasa peperangan, kita laksanakan enam seksyen iaitu ambulan, warden, menyelamat, bomba tambahan, kebajikan dan ibu pejabat.

“Manakala semasa aman, kita aktifkan tiga seksyen sahaja iaitu ambulan, menyelamat dan bomba tambahan,” katanya ketika ditemui Wilayahku di Ibu Pejabat Pertahanan Awam, Kajang, Selangor.

Mengambil contoh insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, Amirsarifudin memberitahu, Pertahanan Awam bertindak sebagai pengantara kepada mangsa termasuk memindahkan mereka yang terlibat ke pusat pemindahan dengan selamat.

Menceritakan tentang perbezaan antara keduadua operasi, jelas beliau, untuk bencana, pihaknya melaksanakan khidmat bantuan kecemasan dan kemanusiaan yang mana unit MERS 999 adalah kod rasmi.

Ujarnya, mungkin bagi orang awam, fungsi APM semasa bencana adalah operasi remeh namun ia sebenarnya memberi impak besar kepada orang awam.

“Daripada sekecil-kecil kes khidmat kemanusiaan sehingga kes besar seperti menyelamatkan orang dalam runtuhan bangunan yang dilaksanakan bersama agensi penyelamat lain.

“Kita bertindak berdasarkan tiga perkara iaitu MERS 999, bencana dan selaku setiausaha pengurusan bencana. Bagi setiausaha pengurusan bencana di daerah ataupun negeri, pegawai daerah akan bertindak sebagai pengerusi di daerah manakala Datuk Setiausaha Kerajaan (SUK) menjadi pengerusi negeri.

“Pertahanan Awam bertindak sebagai setiausaha pengurusan bencana di mana mereka perlu melaksanakan satu mesyuarat koordinasi bersama agensi lain dalam memikirkan bagaimana untuk menghadapi bencana,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan, APM juga perlu berhadapan dengan cabaran yang sama sepanjang penularan COVID-19 di samping mempraktiskan norma baharu.

Tambahnya, bagi pengurusan wabak, pihaknya bertindak sebagai koordinator yang menguruskan kemasukan warganegara dan bukan warganegara dari luar negara melalui pintu masuk antarabangsa sehingga dipindah ke stesen kuarantin selama 14 hari.

Beliau berkata, ia tidak terhenti di situ kerana pihaknya perlu menguruskan pesakit sehingga mereka keluar dari stesen kuarantin.

TIADA PERTINDIHAN TUGAS

Umum juga mengetahui bahawa selain APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut dihubungi sekiranya ular memasuki rumah atau mangsa terperangkap di dalam lif.

Namun beza antara kesemua agensi ini jelas sekiranya peperangan berlaku seperti kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mana Pertahanan Awam bertindak sebagai ‘penjaga’ orang awam.

Kata Amirsarifudin, semasa peperangan, pasukan keselamatan yang akan berperang dengan musuh adalah tentera manakala PDRM bertindak sebagai agensi yang mengekang jenayah dalam kalangan orang tempatan.

“Jadi, komuniti yang ada itu diuruskan Pertahanan Awam secara menyeluruh. Jika semasa aman, peranan kita seolaholah seperti agensi lain namun sebenarnya ia bukan pertindihan tugas kerana asas kami adalah sukarelawan.

“Kita hanya ada 540 pegawai tetap di seluruh negara. Tidak ramai seperti pasukan keselamatan lain tetapi fungsi mereka adalah melatih orang awam untuk mencapai objektif jabatan iaitu semua rakyat Malaysia tahu ilmu Pertahanan Awam.

“Mereka akan diajar secara teori melalui pusat latihan yang kita ada iaitu empat pusat latihan di timur, selatan, utara dan tengah. Mereka juga dilatih untuk mempraktiskan setiap latihan yang diajar.

“Dari situ kita berikan latihan supaya orang awam berpeluang menyumbang sesuatu kepada negara sama ada dalam kes kecemasan mahupun bencana. Seperti menyelamat di dalam air, kita akan ajarkan mereka daripada berenang sehingga teknik penyelamatan.

“Mengikut Akta Pertahanan Awam 1951, jika berlaku pertindihan antara agensi, ia perlu diselesaikan secara pentadbiran dan ia bukanlah satu pertindihan tugas tetapi memberi ruang dan peluang kepada orang awam memberi perkhidmatan kepada negara,” tegasnya.

ANGGOTA Pertahanan Awam mempunyai kepakaran dalam operasi menyelamat pelbagai situasi kecemasan dan bencana.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas