Fokus

Lali tengok mayat bergelimpangan – Rageshwaran

RAGESHWARAN terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang di resort di Seremban. - Ihsan APM RAGESHWARAN terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang di resort di Seremban.
- Diterbit 23 Disember 2020 3:14 AM MYT

BERHADAPAN mayat dan anggota badan yang bergelimpangan akibat bencana likuifaksi di Palu, Indonesia semestinya memberi tamparan hebat kepada petugas operasi.

Namun bagi Kapten M Rageshwaran, 37, ia merupakan cabaran dan pengalaman berharga kerana kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia.

RAGESH

Justeru, Penolong Pegawai Pertahanan Awam Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM itu mengutip dan menggarapnya supaya dapat dijadikan panduan dalam pengurusan bencana walau di mana dia berkhidmat.

“Operasi selama dua minggu yang bermula 14 hingga 28 Oktober 2019 itu memberi saya pengalaman pahit dan manis.

“Kesan daripada bencana sangat teruk. Mangsa memang ditimbus oleh tanah sehingga terbenam ke dalam bumi. Saya menyaksikan secara jelas mayat mangsa bergelimpangan dan organ-organ yang berterabur.

“Kadang-kadang semasa berjalan melihat kawasan operasi, saya dan rakan sepasukan terpijak serpihan badan mangsa seperti tangan, kaki dan kepala,” katanya yang mengetuai pasukan APM ke sana.

Bercerita lanjut tentang operasi di Palu, ujarnya, APM bergabung penglibatan operasi dengan Badan Sar Nasional Indonesia (Basarnas), ia sekali gus membolehkan dirinya belajar selok belok corak penyelamatan dan bantuan daripada negara jiran.

Malah, dia juga kagum melihat bilik operasi (ops room) di situ kerana pergerakan setiap anggota penyelamat  dapat dikesan.

Anak bongsu daripada empat adik beradik ini juga memaklumkan, selain operasi menyelamat dan misi kemanusiaan, penyertaan dalam beberapa pertandingan anjuran Pertahanan Awam di luar negara seperti China dan Singapura juga membolehkannya melihat pelbagai perspektif penyelamatan.

Selain itu, katanya, dia juga berpeluang meneliti tahap fizikal dan mental setiap anggota Pertahanan Awam di negara luar.

“Saya ke China pada November 2019 lalu adalah atas jemputan khas untuk terlibat dalam pertandingan yang dianjurkan selain berkongsi pengalaman tentang teknologi terkini di Malaysia.

“Singapura juga menganjurkan pertandingan yang sama. Saya bertindak sebagai urusetia yang melatih dan memilih anggota untuk ke acara tersebut.

“Selain itu, saya juga mengikuti misi kemanusiaan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Lebanon, Ankara, Turki dan Syria pada 3 hingga 18 April 2019,” katanya.

Bercerita tentang permulaan kerjayanya dalam APM bermula 2006, ujar pelajar Kejuruteraan Awam Politeknik Shah Alam, Selangor ini, dia pada asalnya tidak mengetahui tugas-tugas yang dilaksanakan APM, namun tetap memohon kerana minat mendalam dalam pakaian seragam.

Ujarnya, selepas mendapat jawatan, dia berasa teruja kerana apa yang diimpikan adalah seperti mana tugasan yang dipikul iaitu lebih kepada menyelamat dan pengurusan bencana.

“Saya direkrut selama setahun iaitu enam bulan latihan asas dan enam bulan untuk pasukan khas. Selepas tamat latihan, saya dihantar bertugas di Sungai Petani, Kedah selama lima tahun sebagai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sungai Petani.

“Selepas itu, saya pindah ke Akdademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA), Bangi, Selangor sebagai jurulatih dari tahun 2010 sehingga 2018.

“Kemudian, saya ditukar ke ibu pejabat dan berkhidmat di bawah Jabatan Bencana dan Operasi. Di sini, saya uruskan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) yang ditubuhkan pada 15 Ogos 2008 dengan kekuatan 103 anggota,” kata anak jati Tampin, Negeri Sembilan.

RAGESHWARAN terlibat dalam pasukan K9 APM.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas