Selera

Aneka kuih tradisional di Mee Rebus Johor

NORIZUWAN menyediakan hidangan utama di kiosnya mengikut permintaan pelanggan.
- Diterbit 16 Mac 2020 3:15 AM MYT

SEBUT sahaja tradisional, pastinya gambaran sesuatu yang klasik dan unik bermain di fikiran. Malah sehingga kini, ia masih dinanti-nantikan terutama makanan tradisi seperti kuih-muih.

Maka tidak hairanlah apabila gerai Mee Rebus Johor yang dikendalikan Norizuwan Shah Zainal di Medan Selera Presint 9, Putrajaya terus diburu setiap lapisan masyarakat.

Malah nama yang tidak asing itu merupakan warisan turun temurun keluarganya yang dikenali Haji Wahid sejak 1918 iaitu lebih tiga generasi.

Menurut anak muda berusia 34 tahun itu, perniagaannya di Presint 9 bermula sejak 13 tahun lalu dengan mengekalkan konsep resepi turun temurun dan kualiti kuih-muih tradisional.

Baginya, kuih-muih tradisional perlu dikekalkan supaya tidak lapuk di era pemodenan dan terus dikenali generasi akan datang.

Ujarnya, antara kuih-muih yang dijual adalah Seri Muka, Puteri Ayu, Bingka Pisang, Apam Solo, Nona Manis, Pulut Serunding, Talam Kacang Merah, Kuih Bom dan Kuih Lapis Pelangi.

“Di sini, harga jualan adalah RM2.50 untuk satu paket manakala RM60 bagi satu loyang yang bersaiz 12×12 inci.

“Untuk hari bekerja, saya menjual lima jenis kuih manakala 15 jenis pada setiap Sabtu dan Ahad. Aneka kuih akan ditukar setiap hari,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kekal keaslian

Seperti namanya, gerai yang diusahakan Norizuwan turut mengekalkan menu utama warisan keluarganya Mee Rebus Johor.

Malah, dia turut mengetengahkan beberapa lagi hidangan tradisional dari selatan tanah air seperti Lontong Kering, Lontong Lodeh, Nasi Ambeng dan Laksa Johor.

NASI AMBENG

“Saya juga menyediakan pelbagai jenis hidangan mi rebus seperti Mee Rebus Tulang dan Mee Rebus Udang,” ujarnya.

Menurut Norizuwan, peminat-peminat Mee Rebus Johor yang berada di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya tidak perlu lagi bersusah payah memandu sejauh lebih 300 kilometer ke selatan tanah air demi mendapatkan hidangan istimewa itu kerana ia sudah ada di Putrajaya.

LONTONG KERING
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas