Salted Egg Chips Aiman Tino laris

Salted Egg Chips Aiman Tino laris

JIKA sebelum ini penyanyi Aiman Tino, 22, menghadiahkan restoran buat kedua-dua orang tuanya, kini dia memilih untuk menceburi bidang perniagaan makanan sebagai persediaan masa depan.

Menganggap bidang tersebut sebagai pelaburan yang menguntungkan, menurut Aiman, dia sudah terbiasa membantu ibu dan bapanya berniaga di kedai makan sejak kecil.

Berkolaborasi bersama cef popular dari Singapura, Rizal, kini Aiman aktif berniaga aneka kerepek moden dan tradisonal antaranya Salted Egg Chips yang sudahpun memiliki peminatnya yang tersendiri.

AIMAN TINO

“Saya bersyukur kerana mendapat rakan kongsi yang begitu komited. Alhamdulillah permintaan sangat menggalakkan sehinggakan kami tidak menang tangan. Bayangkan setiap kali turun di karnival jualan dan sebagainya, bekalan kami habis.

“Selain itu, sejak tiga bulan lalu, saya juga agak sibuk kerana perlu berulang-alik ke Singapura untuk memasarkan jualan. Saya lihat warga Singapura begitu menyambut baik Salted Egg Chips,” ujar Aiman.

Ceritanya lagi, sempena menyambut bulan puasa tidak lama lagi, dia juga sudah mula menerima tempahan kerepek daripada pelanggan. Malah peminatnya juga tidak putus-putus bertanya.

“Saya juga membuka tempahan di Instagram. Paling membuatkan saya teruja baru sahaja beberapa minit tempahan dibuka, beratus-ratus tempahan diterima. Nampaknya mereka tidak sabar merasa air tangan Aiman Tino,” ujar Aiman sambil tertawa.

Cukup mengambil berat tentang kualiti kerepek yang dihasilkan, Aiman berkata, resipi kerepek yang dihasilkan adalah daripada turun temurun keluarganya yang sememangnya terkenal sebagai tukang masak di Kuala Kubu Baharu.

“Buat masa ini, proses pembuatan kerepek untuk hari raya hanya dijalankan di rumah dan saya mempunyai kakitangan sendiri yang sudah mula menyiapkan tempahan yang diterima,” ujar Aiman.

Bercerita lanjut tentang masa hadapan perniagaannya itu, anak keempat daripada 10 adik-beradik ini berhasrat mencari tapak yang sesuai untuk melebarkan bisnes kerepeknya.

Lagu raya

Beralih kepada perkembangan seni pula, Aiman baru sahaja melancarkan single terbaru berjudul Dendam Simpati yang dicipta bapanya sendiri.

“Sebenarnya lagu ini sudah lama siap sejak tahun 2015 lagi, namun masa itu tidak ada ruang lagi untuk dilancarkan. Insya-Allah hujung bulan ini kita akan lancarkan muzik videonya pula,” ujar Aiman.

Mengulas tentang single Dendam Simpati, menurut Aiman, lagu tersebut merupakan lagu sedih mengisahkan tentang cinta yang tidak kesampaian.

“Masih lagi dengan lagu-lagu sedih kerana peminat nampaknya lebih suka saya menyanyikan lagu-lagu yang membuai perasaan,” ujarnya.

Selain itu, dia juga bakal terlibat dalam projek lagu raya bersama artis-artis Aries Music tidak berapa lama lagi antaranya Sufian Suhaimi dan Fieya Julia.

CATEGORIES
TAGS