Berita

Ambil peluang tawaran terbaik

KHALID (kiri) bersama Nor Hisham melihat model tiga dimensi cadangan pembangunan semula tanah di Kampung Baru.
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:03 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Tawaran terbaharu pada kadar RM1,000 kaki persegi oleh kerajaan kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru disifatkan antara yang terbaik pernah dikemukakan pihak kerajaan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB), Datuk Mohd. Khay Ibrahim berkata, tawaran yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad baru-baru ini merupakan satu kadar yang munasabah itu kerana ia melibatkan kadar harga belian sebanyak RM850 sekaki persegi (kps) dan baki RM150 kps dalam bentuk pegangan saham.

“Selain itu, bangunan di atas tanah kepunyaan pemilik juga akan dinilai pada harga semasa dan ia akan memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemilik dan pewaris,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mohd. Khay yang berjaya membangunkan Hotel Tamu setinggi 42 tingkat di Kampung Baru menasihatkan pemilik dan pewaris agar tidak membandingkan tanah mereka dengan kawasan komersial di sekitar Kuala Lumpur.

“Walaupun lokasi Kampung baru berdekatan dengan Menara Berkembar Petronas dan beberapa kawasan komersial yang lain seperti Jalan Sultan Ismail, status tanah di kawasan ini amat berbeza.

“Tanah di Kampung Baru mempunyai sekatan dan ia adalah hak milik Melayu serta tidak boleh ditukar status,’’ katanya.

Mohd. Khay yang merupakan anak jati Kampung Baru menjelaskan, tawaran itu melangkaui jangkaannya kerana kerajaan turut memberikan potongan harga 15 peratus bagi pembelian semula hartanah di kawasan yang bakal dibangun itu nanti.

“Saya konsisten sejak dari dahulu lagi berkenaan pembangunan semula ini kerana ia perlu dilakukan sekarang kerana ada tanah ini sudah masuk kepada generasi ketiga dan keempat.

“Sekiranya dibiar terlalu lama, tanah ini semakin sukar untuk dibangunkan dan kosnya akan meningkat pada masa akan datang malah dikhuatiri ia tidak akan dapat dibangunkan sama sekali,’’ katanya.

Sementara itu, seorang pewaris tanah, Shahrom Mohd. Harun, 70, yang kini kini menetap di Kajang, Selangor berkata, tawaran terbaru kerajaan tersebut adalah bagus namun pihak terbabit perlu memahami dengan lebih jelas mekanisme pulangan yang diberikan iaitu tunai dan pegangan saham.

“Saya harap PKB dapat buat kerja itu (memberikan penjelasan),’’ katanya yang telah memberikan maklum balas terhadap tawaran kerajaan sebelum ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas