Berita

Naik taraf jalan-jalan protokol jaga imej negara

PIHAK berwajib perlu memastikan jalan-jalan protokol yang menjadi tumpuan pengguna sentiasa diselenggara dengan baik. -Gambar hiasan
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:09 AM MYT

PUTRAJAYA – Jalan-jalan protokol di seluruh negara perlu dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan pemanduan serta menjaga imej Malaysia di mata dunia.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr Mohd. Anuar Maidin berkata, perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) ke-33 di pejabatnya di sini baru-baru ini.

MOHD. ANUAR

“Perdana Menteri turut menyatakan keindahan landskap di kawasan bandar juga perlu ditambah baik menerusi penanaman pokok-pokok yang berwarna-warni dengan kos penyelenggaraan yang rendah dan sesuai dengan cuaca setempat,” ujarnya.

Mengulas tentang mesyuarat tersebut, Mohd. Anuar yang juga Setiausaha MPFN memberitahu, empat kertas kerja telah dipertimbangkan dan diberi nasihat sebelum pelaksanaan pembangunan dilakukan.

Jelas beliau, kertas kerja yang dibentangkan adalah tiga kertas permohonan pembangunan daripada Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri Selangor dan Melaka serta satu Draf Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 untuk persetujuan iaitu arahan dan nasihat di bawah perenggan 10(4)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Terdahulu mesyuarat yang dipengerusikan Dr. Mahathir itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan Mohd. Anuar.

MPFN merupakan satu jawatan kuasa tertinggi yang memainkan peranan penting dalam setiap perancangan pembangunan sekali gus mengelakkan insiden tidak diingini termasuk bencana alam.

Pada masa ini, Men­teri Wilayah Persekutuan berkuasa penuh selepas PLANMalaysia diletakkan di bawah bidang kuasanya tetapi menteri-menteri lain turut terlibat seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan, Kementerian Tenaga, Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Pengangkutan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas