ALYAH & MK Mangsa Buli Siber, Bila Kesudahannya?

ALYAH & MK Mangsa Buli Siber, Bila Kesudahannya?

DI sebalik kehebatan dan kemajuan dunia dalam teknologi internet, kesan buruknya semakin berleluasa. 

Lihat sahaja gejala buli siber yang semakin membimbangkan dan cukup ‘parah’ apabila ia boleh membawa maut. 

Mungkin ada sesetengah orang melihat gejala ini sesuatu yang remeh namun tidakkah kita tahu banyak kes kemurungan, gangguan emosi, keselamatan tergugat, reputasi jatuh dan bunuh diri berpunca daripada buli siber.

Buktinya ramai selebriti antarabangsa membunuh diri disebabkan tekanan hidup dan buli siber. Antaranya bintang-bintang Korea seperti Sulli, Goo Hara, Cha In Ha, Jeon Mi Sun, Woo Hye Mi dan ramai lagi.

Secara umumnya, baik selebriti, pemimpin negara sehinggalah orang biasa, semuanya tidak dapat lari daripada kata-kata nista dan fitnah atau buli siber ini. 

MK dikecam kerana aksi manja

Video lama aksi manja penyanyi Rap MK bersama anggota kumpulan K-Clique yang lain kembali menjadi topik perbualan baru-baru ini.

Paparan skrin video aksi MK yang pipinya dicium pada 2019 dikongsikan semula di Twitter ini mengundang kecaman wargamaya.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan,24, sedar ada pihak yang cuba mencalarkan imejnya dengan menyebarkan semula video tersebut.

MK tidak mahu terlalu memikirkan kecaman warganet, sebaliknya mahu terus melangkah fokus kerjaya

“Saya Memang rapat dan mesra dengan kawan-kawan. Itu adalah cara kami menrapatkan silatutrahim. Terpulanglah kepada individu di luar sana untuk menilai.

“Kalau mereka rasa ini content (utk media sosial) bagus untuk mereka, terserahlah. Saya tahu akhirnya perbuatan ini akan memakan diri mereka sendiri. 

“Nasihat saya, kalau tidak ada perkara baik nak cakap, lebih baik diam. Kalau ada pendapat, sila lontarkan.

“Kepada individu yang nak jatuhkan saya, semoga urusan kalian dipermudahkan dan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya yang popular dengan lagu Pulang dan Peluang Kedua bersama Nabila Razali.

 

Dikecam Wargamaya, “Jagalah Solat” – ALYAH

Penyanyi Datin Alyah mengaku pernah stres apabila menjadi mangsa buli siber. Apatah lagi sebelum ini beliau pernah terpalit dalam beberapa kontroversi.

Paling ketara apabila kisah rumahtangganya menjadi bualan wargamaya dan ada pihak yang cuba merosakkan perkahwinannya dengan pengarah Muzik, Datuk Ramli MS.  

DENGAN menjaga solat, Alyah lebih tenang dan tidak mudah melatah dengan kata-kata nista warganet.

“Mana-mana rumah tangga pasti ada pasang surutnya. 

“Cuma kesilapan saya dulu adalah meluahkan rasa sedih atau tidak puas hati di media sosial. Akibatnya, ramai yang mengecam dan tidak kurang yang cuba merosakkan rumah tangga saya. 

“Tipulah kalau saya cakap tak stres apabila dikecam. Macam-macam perkataan negatif dilemparkan kepada saya. Memang tertekan. 

“Apa yang saya buat adalah mendalami agama dengan mendengar ceramah-ceramah agama di laman youtube.

“Paling utama, jagalah solat. Itulah yang saya lakukan. Datanglah apa-apa kecaman atau fitnah di media sosial, insya Allah kita akan menjadi lebih tenang. 

“Kita tidak boleh elak dikecam di media sosial, tapi kita boleh atasi rasa tertekan itu dengan dekatkan diri kepada Allah,” ujar Alyah yang popular dengan lagu Cintaiku. – WILAYAHKU

 

 

 

 

CATEGORIES
TAGS