Berita

Allaudeen fokus jadi peguam selepas bersara

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 30 Mac 2024 9:00 AM MYT

KETUA Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid yang bersara wajib semalam berhasrat meneruskan minatnya dalam bidang guaman yang terpaksa ‘dilupakan’ sebaik memilih kerjaya sebagai pegawai polis 38 tahun lepas.

Beliau yang mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1985 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Malaya  berhasrat untuk menyertai firma guaman setelah melengkapkan proses untuk menjadi seorang peguam.

“Sebenarnya, ia lebih kepada kepuasan sendiri. Saya perlu sempurnakan apa yang telah saya mulakan dahulu iaitu menjadi pelajar dan seterusnya menjadi penuntut dalam kamar sebelum saya boleh dipanggil seorang peguam.

“Itu adalah perancangan paling awal setakat ini…selebihnya kita tengok dulu macam mana,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV hari ini.

Bekongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang menjadi anggota ‘Sang Saka Biru’,  Allaudden berkata antara yang masih segar dalam ingatannya ialah ketika berada di dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) pada 1986.

“Pengalaman berjumpa dengan komunis, melakukan operasi di sempadan selain kenderaan Land Rover yang dinaiki hampir terbalik jatuh ke dalam gaung.

“PPH ini adalah satu organisasi yang membina jati diri yang begitu kental sehingga ke hari ini. Pelbagai pengalaman saya dapat dan yang paling utama adalah kaedah untuk command (memberi arahan)…kalau hari ini saya boleh menjadi seorang komander yang baik, itu adalah hasil usaha didikan ketua-ketua saya di PPH dahulu,” katanya.

Sementara itu, Allaudeen berharap PDRM berupaya menjadi satu badan yang berintegriti, terus menerajui keselamatan dan keamanan negara  bagi membolehkan Malaysia terus berkembang dari segi ekonomi demi keselesaan rakyat.

“PDRM akan terus berada bersama masyarakat. Selagi anda ikut peraturan dan ikut undang-undang, polis tidak mengambil tindakan. Pesanan saya, berilah kerjasama kepada pihak polis untuk kebaikan kita bersama,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas