Berita

Cadang anjur Kembara RIUH ke lebih banyak lokasi – Fahmi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Mac 2024 11:45 PM MYT

MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil mencadangkan agar program Kembara RIUH diperluaskan di lebih banyak lokasi seluruh negara, berikutan sambutan memberangsangkan  terutama golongan belia.

Beliau berkata mengambil contoh penganjuran Kembara RIUH di Sentul Depot yang bermula hari ini, yang telah menerima kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung dan dijangka akan meningkat kepada 30,000 orang sehingga Ahad.

“Difahamkan ada yang beratur seawal 3 petang tadi untuk program ini. Hari pertama sudah mencecah 10,000 kunjungan orang ramai, jadi kita jangka untuk acara ini sahaja (secara keseluruhan) sekurang-kurangnya 30,000 (kehadiran), tapi saya rasa akan lebih daripada itu.

“Esok Sabtu, kita jangkakan memang ramai lagi yang akan datang, jadi manfaatkanlah pengangkutan awam yang berhampiran, supaya tiada masalah mencari parkir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kembara RIUH ‘RIUH x Cuckoo: #Samasama Raya’, yang turut dihadiri oleh timbalannya Teo Nie Ching, di sini malam ini.

Penganjuran Kembara RIUH seterusnya akan berada di Johor Bahru pada 5 hingga 7 April ini, diikuti RIUH x Hari Belia Negara di Melaka (25-26 Mei), RIUH Oha! di Kuching, Sarawak (28-30 Jun), RIUH Bah! 2.0 di Kota Kinabalu, Sabah (14-16 Sept), RIUH Ork! di Kuantan, Pahang (25-26 Okt) dan Rock N’ RIUH di Kuala Lumpur (6-8 Dis).

Pada 8 Mac, Fahmi dilaporkan berkata sebanyak 5,023 peluang pekerjaan berjaya dicipta menerusi Program Kembara RIUH anjuran MyCreative, dari 2022 hingga tahun lepas.

Beliau berkata program tersebut turut memberi impak kepada 4,324 penggiat seni dan kreatif, serta menerima lebih 285,000 pengunjung dengan jumlah jualan terkumpul sebanyak RM2.8 juta dalam tempoh tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas