Utama

Alamanda rai Anak-Anak Yatim Sayang KL dan Selangor sempena Tahun Baru Cina 

SERAMAI 15 kanak-kanak diraikan di Pusat Membeli-Belah Alamanda sempena Tahun Baru Cina.
- Diterbit 8 Februari 2022 3:38 AM MYT

KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina terus dirasai apabila kanak-kanak daripada Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sayang KL dan Selangor diraikan di Pusat Membeli-Belah Alamanda pada 26 Januari lalu.

Lebih meriah, pihak pengurusan Alamanda menyajikan sekumpulan 15 kanak-kanak berumur antara dua hingga 12 tahun itu dengan makanan tengah hari Tahun Baru Cina yang istimewa di Secret Recipe.

Menurut Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien, Tahun Harimau melambangkan permulaan baharu memandangkan kita masih berada dalam fasa pemulihan pandemik dan ia juga merupakan waktu terbaik untuk merasai kembali beraya bersama-sama.

“Walaupun beraya di samping rakan-rakan dan keluarga adalah penting, kita mesti sentiasa mengingati mereka yang serba kekurangan.

“Justeru itu, kami merasa bertuah dapat menjadi hos kepada kanak-kanak ini dan berharap program ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan oleh mereka,” ujarnya yang menganggap ia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tambah beliau, dalam program berkenaan, pihaknya turut membawa kanak-kanak itu menaiki tunggangan permainan di dalam pusat membeli-belah sebelum membawa mereka ke Centre Court untuk menyaksikan persembahan tarian singa bagi memberikan keceriaan kepada mereka.

“Bukan sekadar menerima angpau dan barangan, perhatian dan layanan istimewa daripada Alamanda begitu bermakna buat mereka,” kata penjaga Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sayang KL dan Selangor, Foo Jong Hong.

KANAK-KANAK menerima angpau daripada Pengurus Besar Alamanda, Pang Sook Fong.

Di samping itu, kanak-kanak ini juga menerima angpau dan limau mandarin oleh Pengurus Besar Alamanda, Pang Sook Fong sebagai sebahagian daripada tradisi sambutan Tahun Baru Cina.

“Rakan niaga yang lain turut menyumbang snek dan barangan lain kepada kanak-kanak ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas