Berita

Aktiviti, promosi menarik menanti pengunjung Karnival Jom Heboh

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian kanak-kanak ketika melawat tapak pameran pada Hari Rekreasi Putrajaya 2022 dan Karnival Jom Heboh di Putrajaya hari ini.
- Diterbit 25 Jun 2022 3:46 PM MYT

KARNIVAL Jom Heboh (KJH) kembali membuka tirainya selepas tiga tahun berehat susulan pandemik COVID-19 dengan pelbagai aktiviti dan promosi menarik menanti pengunjung yang hadir.

Acara tahunan kegemaran ramai yang dibawakan oleh DuitNow ini berlangsung pada 25 dan 26 Jun bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya sempena dengan Hari Rekreasi Putrajaya (HRP) 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sempat meluangkan masa lebih sejam meninjau KJH menyifatkan program itu merupakan perhimpunan keluarga yang besar selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya pada Oktober tahun lalu.

“Pengunjung yang datang hari ini juga terdiri daripada pelbagai kaum. Ini merupakan perhimpunan besar yang dihimpunkan di bawah Karnival Jom Heboh dan ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya mahukan.

“Apabila sampai, saya sendiri berasa teruja dengan kehadiran orang ramai yang bukan sahaja sekitar Kuala Lumpur tetapi juga ada dari Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

“Dari segi pengisian dan aktiviti yang ditawarkan, bermacam-macam perkara yang orang ramai boleh didapati di sini kerana ia bukan hanya untuk orang dewasa, tetapi untuk kanak-kanak dan pencinta kucing macam saya. Lama juga saya habiskan masa di pameran kucing tadi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau KJH dan HRP 2022 di Anjung Floria hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut meluangkan masa meninjau beberapa gerai pameran antaranya Kelab Kucing Malaysia, Didik TV, Studio A Jom Heboh, Media Prima, Aspirasi Keluarga Malaysia, Putrajaya Floria, berswafoto dan beramah mesra bersama pengunjung.

Beliau juga mengajak orang ramai untuk hadir ke KJH dan HRP 2022 yang diadakan selama dua hari bermula pukul 8 pagi sehingga 11.30 malam.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Datuk Michael Chan.

Terdahulu, HRP 2022 julung kali diadakan bertujuan mempromosi Putrajaya sebagai Bandar Rekreasi serta menjadi lokasi tarikan pelancongan dan menjana pendapatan ekonomi setempat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas