Aksi bertenaga Azizulhasni, Shah Firdaus ditagih sumbangkan pingat di Tokyo
AZIZULHASNI dan Muhammad Shah Firdaus melakukan kayuhan regangan otot sambil diperhatikan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley (kiri) selepas acara pecut semalam di Veledrome Izu, Shizouka pada Khamis. Gambar: Bernama/ Sinar Harian

Aksi bertenaga Azizulhasni, Shah Firdaus ditagih sumbangkan pingat di Tokyo

KETIKA Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah semakin hampir ke penghujung, kayuhan ‘magis’ jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang amat ditagih bagi menyumbangkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Malah, peminat sukan tanah air juga mengharapkan kayuhan bertenaga daripada Muhammad Shah Firdaus Sahrom agar dapat menghadiahkan pingat, sekali gus membolehkan kontinjen negara mencapai sasaran tiga pingat ditetapkan pada temasya Olimpik kali ini.

Lebih-lebih lagi, kontinjen Malaysia kini bergantung kepada aksi Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus yang merupakan atlet negara yang masih membawa cabaran sebelum temasya sukan terbesar dunia itu melabuhkan tirai pada Ahad (8 Ogos).

Setakat ini, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, dalam acara beregu badminton lelaki.

Selepas kedua-dua pelumba berkenaan gagal meloloskan diri ke peringkat suku akhir acara pecut lelaki selepas kecundang di pusingan ketiga atau 1/8 semalam, rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar mereka bangkit bertenaga dalam acara keirin yang dijadual bermula pada Sabtu (7 Ogos).

Sebagai juara dunia keirin 2017 dan pemenang pingat gangsa keirin pada Olimpik Rio 2016, Azizulhasni menjadi sandaran terbaik bagi menyumbangkan pingat dalam acara kegemarannya itu.

Membuat penampilan keempat di pentas Olimpik, pelumba berusia 33 tahun itu bukan sahaja prospek menyumbangkan pingat, malah menjadi sasaran memenangi pingat emas pertama Malaysia di temasya sukan berprestij itu.

Begitu juga, Muhammad Shah Firdaus. Setelah menampilkan aksi cemerlang dalam beberapa kejohanan dengan muncul juara mengatasi seniornya, Azizulhasni, pelumba berusia 26 tahun itu juga diharapkan berada pada prestasi terbaik sekali gus meraih pingat buat negara.

Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus akan turun bersaing pada pusingan pertama acara keirin yang dijadual pada 3.48 petang waktu tempatan (2.48 petang waktu Malaysia) Sabtu (7 Ogos) di Izu Velodrom, Shizuoka, kira-kira 175 kilometer dari bandar raya ini.

Sekiranya berjaya melepasi pusingan tersebut, kedua-dua pelumba berkenaan akan beraksi di peringkat suku akhir pada Ahad (8 Ogos). Saingan separuh akhir dan final juga akan berlangsung Ahad.

Mengulas mengenai aksi kedua-dua pelumba itu esok, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus dapat menghasilkan keputusan yang menggembirakan buat kontinjen negara pada temasya sukan itu kali ini.

Malah, beliau berkata Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus juga tekad mempamerkan prestasi terbaik dalam perlumbaan tersebut.

“Semalam saya sempat berbual dengan Azizulhasni dan Shah Firdaus. Mereka masih mempunyai kesungguhan untuk menyumbangkan pingat kepada negara,” katanya.

Namun, Reezal Merican mengharapkan agar segalanya berjalan mengikut perancangan, sambil mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyokong dan mendoakan kejayaan kedua-dua pelumba negara itu.

“Saya tidak mahu lagi bercakap mendabik dada (kita boleh menang pingat). Secara ikhlas saya lebih suka berdoa sekarang. Apa sahaja boleh berlaku… Kita doakan yang terbaik kepada kedua-dua mereka.

“Malah, kita pun melihat bintang badminton Jepun Kento Momota yang disandarkan meraih pingat emas di bumi sendiri gagal (sumbangkan pingat), begitu juga bintang tenis Jepun Naomi Osaka dan banyak berita mendukacitakan melibatkan atlet ternama dari negara lain.

“Maka, yang terbaiknya, kita terus berdoa agar Azizulhasni dan Shah Firdaus berada di tahap terbaik, dan membawa pulang pingat kepada negara,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES