Berita

Agensi swasta, institusi perbankan digesa pertimbang beri duit raya kepada kakitangan

- Diterbit 2 April 2024 9:51 AM MYT

AGENSI swasta dan institusi perbankan di negara ini wajar memberi pertimbangan pemberian sagu hati kepada kakitangan peringkat rendah sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Gesaan tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk mengurangkan beban golongan pekerja peringkat bawah dalam menyambut lebaran.

“Saya juga gesa semua agensi, badan kerjaaan, syarikat-syarikat, kalau dah beri ok lah, dan kadang kala ada yang masuk dalam skim.

“Tetapi kalau yang belum, bagilah pertimbangan untuk pekerja-pekerja lain ratusan ribu yang dibawah kelolaan kita keseluruhannya supaya dapat sedikit habuan untuk mengurangkan bebannya untuk menyambut aidil fitri mubarak,” katanya ketika berucap di dalam Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya hari ini.

Katanya, gesaan itu turut merangkumi Institusi Perbankan yang mempunyai kakitangan peringkat bawahan yang bekerja di bawah syarikat berkenaan.

“Bank-bank ini bagilah pertimbangan, saya tidak boleh bagi arahan kerana itu urusan mereka masing-masing tetapi saya boleh beri gesaan kalau boleh.

“Beri yang bawah-bawah, belajar dari keputusan kita, Gred 56 ke bawah dan ini menunjukkan kita bantu dan bantuan itu lebih kepada golongan pertengahan dan bawah,” katanya.

Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM500 kepada penjawat awam sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas