Berita

Tabung Haji umum agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus

- Diterbit 2 April 2024 10:55 AM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 pada kadar 3.1 peratus setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion berbanding RM2.65 bilion tahun sebelumnya.

“Ia juga akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH berbanding 8.8 juta pendeposit pada tahun 2022,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2023 hari ini.

Tambah Mohd Na’im, agihan keuntungan 2023 dibuat setelah penyata kewangan TH tahun 2023 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan telah mengambil kira rosot nilai terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan pelaburan hartanah di United Kingdom.

“Agihan keuntungan bagi tahun 2023 juga adalah mematuhi Akta Tabung Haji 1995.

“TH turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun 2023.

“Pelunasan zakat ini diharap secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara,” ujarnya.

Selain itu, menurut Mohd Na’im, jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan bagi pihak pendeposit adalah sebanyak RM1.37 bilion sehingga kini.

Beliau berkata, jumlah zakat TH diselaraskan kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas