Berita

Fitnah Mat Sabu: Ketua Pemuda Amanah buat laporan polis gesa siasat pemilik akaun Facebook

NABIL (tiga dari kiri) menunjukkan salinan dakwaan fitnah seorang pemilik akaun Facebook terhadap Mohamad Sabu selepas membuat laporan di IPD Shah Alam hari ini.
- Diterbit 12 Februari 2020 10:03 AM MYT

SHAH ALAM – Polis diminta supaya mengambil tindakan terhadap seorang pemilik Facebook, Nora Aisyah yang didakwa melakukan fitnah terhadap Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Ketua Pemuda Amanah Kota Raja, Nabil Norhalim berkata, kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkenaan pada pukul 10.15 malam malam tadi dianggap berniat jahat terhadap Mohamad yang juga Menteri Pertahanan.

“Dalam status berkenaan, ayat yang dimuat naik itu dirujuk seperti dikeluarkan oleh Presiden Amanah sedangkan perkataan berkenaan tidak pernah disebut.

“Status itu turut memaparkan gambar Mohamad seolah-oleh menunjukkan kenyataan itu sememangnya dari mulutnya,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Terdahulu Nabil bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Amanah Kota Raja membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Nabil berkata, sehingga petang ini status fitnah terhadap Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja masih belum dipadamkan.

Berikutan itu, pihaknya menggesa pihak polis melakukan siasatan lanjut serta mengesan individu terbabit sekaligus mengenakan hukuman sewajarnya.

“Gejala fitnah di media sosial ini dilihat semakin menjadi-jadi. Kita mahu perkara ini dipandang serius dan menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas