Berita

502 polis Johor, anggota keluarga positif COVID-19 sejak Mac tahun lepas

SERAMAI 502 anggota polis Johor termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif COVID-19 sejak Mac tahun lalu hingga Selasa. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 12 Ogos 2021 7:12 AM MYT

SERAMAI 502 pegawai dan anggota polis di negeri ini serta anggota keluarga mereka direkodkan positif COVID-19 sejak Mac tahun lepas hingga semalam dengan empat kematian akibat wabak itu, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 282 daripadanya merupakan pegawai dan anggota polis manakala 220 pula adalah anggota keluarga.

“Meninggal dunia disebabkan COVID-19 melibatkan empat kematian iaitu dua pegawai dan anggota serta dua anggota keluarga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai keseluruhan kes positif COVID-19 melibatkan polis Johor.

Menurutnya, jumlah individu yang dikuarantin bagi tempoh sama pula membabitkan seramai 2,518 pegawai dan anggota serta 446 ahli keluarga.

Dalam kes lain, Ayob Khan berkata pihaknya sedang mengesan seorang wanita, Nur Fatin Shaera Md Aris, 27, yang beralamat terakhir di Pos 15, Kampung Parit Bingan, Parit Raja dekat Batu Pahat bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Beliau berkata wanita itu dikehendaki untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Fatin Shaera boleh menghubungi ASP Ahmad Shamsul Rebu di talian 019-7382140 atau balai polis berhampiran, katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas