Berita

Unit Pharmaniaga meterai Surat Setuju terima tambahan perolehan bekalan vaksin

PHARMANIAGA menjelaskan pihak-pihak yang terlibat juga bersetuju untuk melaksanakan perjanjian tambahan bagi membolehkan PLS memjual, membekalkan dan menyerahkan jumlah dos yang diminta kepada kerajaan. Kredit foto: Freepik
- Diterbit 12 Ogos 2021 7:19 AM MYT

ANAK syarikat milik penuh Pharmaniaga Bhd, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) menandatangani Surat Setuju Terima (Tambahan) Perolehan Pembekalan ‘COVID-19 Coronavac Suspension’ dengan kerajaan pada Rabu bagi pembelian tambahan enam juta dos vaksin dalam bentuk produk siap serta untuk pengisian dan pembotolan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Pharmaniaga menjelaskan pihak-pihak yang terlibat juga bersetuju untuk melaksanakan perjanjian tambahan bagi membolehkan PLS memjual, membekalkan dan menyerahkan jumlah dos yang diminta kepada kerajaan.

“Surat Setuju Terima dan kerjasama yang dipertimbangkan seperti yang terkandung di dalamnya akan berperanan sebagai platform untuk syarikat membantu negara dalam membekalkan vaksin.

“Ia juga akan membantu Malaysia mencapai sasaran kadar vaksinasi,” menurutnya.

Pharmaniaga menambah, SST itu akan memberi impak ketara ke atas pendapatan serta pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas