Berita

Gangguan perkhidmatan LRT Ampang: DBKL arah henti kerja Projek Menara SOHO

PERKHIDMATAN LRT Laluan Ampang terganggu akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.
- Diterbit 3 Februari 2023 3:47 AM MYT

PEMILIK Projek Cadangan Membina 1 Blok 44 Tingkat Menara SOHO (326 unit) dengan satu basement di Lot PT 163, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menerima arahan memberhentikan kerja serta-merta yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata arahan yang dikeluarkan Isnin lalu berikutan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi Laluan Ampang yang berlaku pada 27 Januari lepas.

“Keputusan itu dibuat hasil daripada mesyuarat bersama wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL iaitu Jabatan Perancangan Infrastruktur; Jabatan Kawalan Bangunan; Jabatan Perancangan Bandaraya; Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran; Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan serta Jabatan Perancangan Korporat pada 28 Januari lepas.

“Arahan ini dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone).

“DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Committee atau OSC) akan melibatkan pihak APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan kereta api,” katanya.

Pada 27 Januari lepas, perkhidmatan LRT bagi Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan pemerhatian awal menunjukkan berlaku kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas