Berita

My Beautiful Wetland @ Upper Bisa P16 kembali berwajah baharu, sarat aktiviti

BEBERAPA tumbuhan akuatik dan landskap menceriakan longkang di belakang Hotel Everly, Presint 16, Putrajaya.
- Diterbit 3 Februari 2023 5:30 AM MYT

SUASANA suram dan sepi di persekitaran longkang yang terletak di belakang Hotel Everly, Presint 16, Putrajaya bertukar wajah di bawah inisiatif Local Agenda Putrajaya 21 (LA21) iaitu My Beautiful Wetland @ Upper Bisa P16. Pelbagai inisiatif dilakukan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk mencapai inisiatif di kawasan longkang tersebut bermula tahun 2019.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Tasik & Wetland PPj, Normaliza Noordin, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan dari semua aspek.

“Antaranya meningkatkan kualiti ekologi, badan air dan biodiversiti Putrajaya selain memberi perhatian utama ke arah pencapaian Polisi 5, Rancangan Struktur Putrajaya 2025, di bawah transformasi Putrajaya ke arah Bandar Hijau Putrajaya.

“Dari segi struktur pula adalah pemasangan perangkap sampah untuk menghalang sisa bahan yang tidak diingini seperti daun kering, botol air mineral, bekas makanan, puntung rokok, plastik dan lain-lain daripada terus masuk ke dalam kolam,” ujarnya ketika ditemui Wilayahku.

Tambahnya, tindakan proaktif ini adalah bagi mengurangkan pencemaran sampah sarap di laluan saliran air serta meningkatkan tahap kebersihan air kolam.

“Selain itu, bagi mengelakkan punca wabak penyakit dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia untuk memastikan kebersihan sungai dan saliran di dalam Putrajaya terus terjamin.

“Pihak kami juga melakukan pembinaan struktur raga batu (gabion) dilengkapi sabut serta karbon aktif yang diperbuat daripada arang tempurung kelapa yang mana struktur ini bertindak menyaring dan menapis bahan pepejal terampai seperti kelodak, menambah baik kualiti fizikal air dari segi bau, kejernihan dan rasa,” ujarnya.

Katanya, penanaman tumbuhan akuatik turut dilaksanakan untuk menambah baik kualiti air parameter fisio-kimia dan biologi kerana tumbuhan tersebut menyerap nutrien berlebihan yang tidak diperlukan seperti nitrat dan fostat untuk tujuan tumbesaran secara langsung mengurangkan kandungan bahan cemar terlarut dalam air.

“Tumbuhan ini juga menjadi sumber makanan, membekalkan oksigen serta menyediakan tempat bertelur dan perlindungan seperti ikan, kupu-kupu dan pepatung selain penanaman tumbuhan landskap turut diletakkan untuk tujuan impak visual, keindahan dan keceriaan serta menambah baik habitat fauna kecil bandar.

“Tanaman yang berbunga terang akan menarik perhatian serangga serta menggalakkan pendebungan, menurunkan sifat genetik sekali gus menjaga keberlangsungan spesies pada masa hadapan,” jelasnya.

Sementara itu, Normaliza memaklumkan terdapat pelbagai hasil pencapaian daripada penambahbaikan tersebut antaranya peningkatan nilai perkhidmatan ekosistem, penambahbaikan kualiti air saliran masuk @ inlet Presint 16 di Hotel Everly, penambahbaikan habitat fauna kecil seperti ikan, pepatung, rama-rama, memberi impak visual positif, peningkatan biodiversiti flora dan fauna selain mendapat kerjasama pintar daripada pihak kerajaan dan swasta.

“Ia juga memberi manfaat kepada pihak awam sebagai lokasi riadah pasif, tapak pendidikan dan pembelajaran luar bilik darjah iaitu Environment, Ecosystem and Educational Programme (3EP) serta lokasi instagrammable dan photo-worthy,” ujarnya yang dalam perancangan untuk membuat penyediaan papan informasi projek dan mural. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas