Berita

25 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan gagal pulang, tidak patuhi SOP

- Diterbit 28 April 2020 4:47 PM MYT

LABUAN – Seramai 25 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang terkandas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan pulang ke kampung kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pelajar yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) .

Difahamkan, pelajar berkenaan dilihat turun dari bas kolej di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di pusat bandar pada kira-kira pukul 7 pagi semalam, sebelum polis di terminal meminta mereka kembali semula ke kampus.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, pelajar terbabit gagal mengemukakan bukti atau surat pelepasan daripada Balai Polis Labuan dan perjalanan pulang mereka melalui bot telah diuruskan secara peribadi.

Kata beliau, mereka sepatutnya menunggu SOP dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh termasuk ujian swab sebelum dibenarkan pulang.

“Labuan masih diklasifikasikan sebagai zon kuning Covid-19 dan kami masih menunggu SOP daripada kerajaan Pusat.

“Kami masih tidak pasti, sama ada kami boleh atau tidak boleh membenarkan pelajar yang berada di zon kuning untuk pulang ke kampung mereka yang mungkin berada di zon merah, kuning atau hijau,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk urusan kepulangan pelajar yang masih terkandas di kampus masing-masing.

Dalam pada itu, selain Kolej Matrikulasi Labuan, pulau ini juga menempatkan Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah.

Dianggarkan ribuan pelajar masih berada di asrama masing-masing dan pergerakan pulang pelajar institusi pengajian tinggi yang terkandas berikutan penguatkuasaan PKP telah bermula semalam, membabitkan universiti di zon tengah.

Pergerakan pulang pelajar ke kampung telah bermula kelmarin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas