Berita

Boleh dua orang naik satu kereta dengan syarat ahli keluarga

LEBIH banyak kenderaan berada di jalan raya sejak semalam ekoran kelonggaran kepada beberapa sektor lain. - Gambar hiasan IPD Serdang
- Diterbit 29 April 2020 8:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat hari ini memberi kelonggaran kepada prosedur operasi standard (SOP)
sedia ada apabila kerajaan membenarkan dua orang keluar dalam setiap kereta pada satu-satu masa.

Bagaimanapun menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dua orang tersebut mestilah daripada rumah dan keluarga yang sama.

“Kelonggaran ini berkuat kuasa hari ini sehingga 12 Mei depan. Bagaimanapun warta kerajaan sebelum ini tetap mengekalkan peraturan sebelum ini iaitu hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun untuk urusan seperti kesihatan dan perubatan serta membeli barangan keperluan harian dibolehkan melebihi 10km tetapi klinik atau kedai tersebut mestilah yang paling dekat jika keperluan tersebut tiada dalam lingkungan jarak berkenaan daripada rumah masing-masing,” katanya dalam sidang akhar harian di sini hari ini.

Tambah beliau, setiap PKP yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu telah diwartakan oleh kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas