Berita

PESANAN BOS BANK ISLAM SEMPENA RAMADAN

|
- Diterbit 28 April 2020 4:35 PM MYT

Marhaban Ya Ramadan

Alhamdulillah, bersama-samalah kita mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberikan afiat, kesejahteraan dan umur panjang untuk bertemu Ramadan yang mulia pada tahun ini.

Di Bank Islam, Ramadan adalah bulan yang amat kami nantikan. Saban tahun, di bulan ibadah dan kerahmatan inilah kami jalankan pelbagai aktiviti untuk menyantuni pemegang kepentingan
kami, baik pelanggan perseorangan, korporat mahupun golongan memerlukan.

Sepanjang Ramadan, kami akan berkongsi rezeki melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab korporat dan
kerja-kerja kebajikan.

Tetapi Ramadan tahun ini amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.

Penularan wabak Covid-19 memaksa kami membuat perubahan perancangan kami untuk Ramadan.

Penawar Covid-19 masih belum ditemukan. Penjarakkan sosial perlu diteruskan bagi mengawal risiko jangkitan.

Namun, di tengah-tengah kesulitan ini, inisiatif perkongsian rezeki masih lagi kami teruskan dengan sedikit kelainan.

1 Ramadan 1441H yang jatuh pada 24 April 2020 berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 bermula 15 April hingga 28 April 2020. PKP Fasa 3 menyarankan supaya semua
pihak menangguhkan sebarang perhimpunan dan aktiviti awam sepanjang dan selepas tempoh tersebut untuk mengelakkan jangkitan baharu.

Saranan tersebut turut menjejaskan perancangan Ramadan kami. Sejak 5 tahun lalu di setiap Ramadan, Bank Islam dengan kerjasama Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy (SWADD) akan mengada program tahunan Iftar @ SWADD di Menara Bank Islam, di mana kami menyediakan sajian berbuka puasa secara percuma pada setiap hari bekerja untuk hampir 500 warga kota yang tidak sempat pulang berbuka puasa bersama keluarga.

Turut diadakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di SWADD. Begitu juga dengan majlis-majlis iftar yang sering kami adakan sebagai inisiatif libat urus dan pernyataan penghargaan kami kepada pelanggan korporat yang memberikan sokongan berterusan kepada kami.

Selain itu, kami juga menganjurkan aktiviti-aktiviti tanggungjawab korporat melibatkan pelbagai golongan masyarakat serta penduduk kampung terpilih.

Tidak lupa juga majlis-majlis iftar bersama pengamal media yang kami adakan tiap tahun sebagai tanda penghargaan atas liputan yang diberikan.

Malangnya, inisiatif-inisiatif ini tidak dapat kami teruskan Ramadan ini atas faktor-faktor keselamatan kesihatan dan sebagai menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama mencegah risiko jangkitan baharu Covid-19.

Kami amat menghargai kesemua pemegang kepentingan kami dari pelbagai lapisan.

Namun, perubahan perlu dilakukan dan langkah ini terpaksa kami ambil untuk kebaikan dan kebajikan anda semua.

Oleh itu, peruntukan yang kami sediakan untuk inisiatif-inisiatif perkongsian rezeki di bulan Ramadan, kini disalurkan semula ke arah inisiatif menjaga kebajikan frontliners yang berkorban demi kesejahteraan kita semua serta para asnaf dan golongan yang terjejas berikutan penularan wabak Covid-19 ini.

Inisiatif-inisiatif yang kami laksanakan bagi menggantikan majlis-majlis di bulan Ramadan ini akan kami uar-uarkan di laman sesawang serta media sosial kami di https://www.bankislam.com/corporate-info/resources/covid-19-stakeholders-communications; instagram: @bankislam dan @amal_bankislam serta facebook:
https://www.facebook.com/BankIslamFB/

Walaupun inisiatif tradisi Ramadan ini tidak dapat diteruskan pada tahun ini, Bank Islam sentiasa menghargai dan berterima kasih atas segala sokongan dan kesetiaan yang diberikan kepada kami selama ini.

Kami akan terus melipatgandakan usaha-usaha libat urus bersama kesemua pemegang kepentingan kami setelah keadaan bertambah baik bagi mengeratkan silaturahim yang telah
sekian lama terjalin antara kita semua, Insya-Allah.

Saya dan seluruh warga Bank Islam akan terus mendoakan agar Ramadan yang mulia ini terus memberikan keberkatan dan kesabaran mengharungi tempoh yang amat mencabar ini kepada
anda semua.

Dengan usaha yang kami lakukan, saya percaya kita semua sedikit sebanyak akan dapat menyumbang ke arah mengekang penularan wabak Covid-19 ini, Insya-Allah.

SALAM RAMADAN DAN SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA.

MOHD MUAZZAM MOHAMED
Ketua Pegawai Eksekutif
Bank Islam Malaysia Berhad

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas