Berita

25 lokasi di KL, Labuan dan Putrajaya bakal dilimpahi cahaya biru

BEBERAPA bangunan ikonik seperti KLCC akan dilimpahi cahaya biru sempena kempen Light It Blue pada 30 April hingga 3 Mei ini.
- Diterbit 28 April 2020 4:23 PM MYT

PUTRAJAYA – Kempen ‘Light It Blue’ yang dijadual bermula pada malam 30 April ini sempena Hari Pekerja 1 Mei bagi menghargai  jasa petugas barisan hadapan melawan Covid-19 bakal melibatkan 25 lokasi utama di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kempen itu akan berlangsung dari 30 April hingga 3 Mei ini bermula pada pukul 10.30 malam hingga 1 pagi.

Antara lokasi yang akan dilimpahi cahaya biru di Kuala Lumpur ialah Menara DBKL 1; Dataran Merdeka; Menara TRX; Menara Kuala Lumpur; Pintasan Saloma; Masjid Jamek dan Kolam Biru River Of Life (ROL).

KOLAM Biru River of Life di hadapan Masjid Jamek Kuala Lumpur.
BANGUNAN Sultan Abdul Samad turut bakal dilimpahi cahaya biru.

Turut dipasang lampu biru ialah Masjid Ibn Khaldun Sungai Besi; Masjid Albukhary Jalan Hang Tuah dan empat lokasi ITIS iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Damansara berhadapan Hotel Majestic, Lebuh Raya Sultan Iskandar dan Lebuh Raya  Hubungan Timur Barat dari Taman Connought ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, di Putrajaya, sebanyak lapan lokasi dipilih untuk kempen tersebut termasuk dua buah jambatan iaitu Kompleks Perbadanan Putrajaya; Bangunan Putra Perdana; Menara Kementerian Belia dan Sukan; Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Jambatan Wawasan dan Jambatan Saujana.

Di Labuan pula, empat lokasi telah dipilih iaitu di Wisma Perbadanan Labuan, Jalan Merdeka , Jalan Dewan (Giant LED Board) serta UTC Labuan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas