Berita

Kimberly-Clark Malaysia sumbang produk bayi, wanita bernilai RM1 juta

SANTHARA (tengah) menerima sumbangan barangan keperluan bayi dan wanita daripada Kimberly-Clark di Kuala Lumpur semalam.
- Diterbit 28 April 2020 4:11 PM MYT

KUALA LUMPUR – Simpati dengan keadaan yang menimpa penduduk di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Kimberly-Clark Malaysia yang menghasilkan produk penjagaan diri tampil menyumbangkan barangan bernilai RM1 juta.

Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia, Raj Sundar berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan penghuni di kawasan itu yang berdepan dengan tekanan ekoran tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan terhadap kesihatan dan ekonomi negara. Sebagai pengeluar barang keperluan yang terkemuka di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab untuk menyokong mereka yang bergantung kepada kami,” katanya.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara menerima sumbangan itu di Pusat Pengurusan Krisis, Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Syarikat itu menyumbang kira-kira 20,000 pek lampin jenama Huggies, 5,000 pek produk tuala wanita jenama Kotex dan 5,000 bungkus tisu Kleenex untuk diedarkan kepada 16,000 keluarga yang terjejas di dalam kawasan itu.

Sementara itu, Santhara menyifatkan keadaan yang berlaku ketika ini sebagai mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di dalam kawasan PKPD.

“Kami berterima kasih kepada Kimberly-Clark atas sumbangan barangan penjagaan anak dan kebersihan wanita.

“Saya yakin bantuan yang diberikan ini sangat diperlukan oleh keluarga yang terjejas,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Panglima 12 Brigade, Kem Wardieburn, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas