Berita

15,000 alun selawat dalam hujan lebat

ANWAR (tengah) sedang memimpin bacaan selawat Nuril Anwar ketika Majlis Selawat dan Munajat Perdana Untuk Malaysia Sabtu lalu.
- Diterbit 17 Mac 2023 12:30 PM MYT

KIRA-KIRA 15,000 umat Islam terus bersemangat mengalunkan selawat dan mendengar tazkirah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun hujan lebat membasahi sekitar kawasan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Majlis yang dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dipimpin Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki disusuli program selawat dan qasidah oleh Syabab EI-Mustofawiyah yang menjadi johan festival qasidah tahun 2022.

Program berkenaan turut menampilkan tokoh agama antaranya johan qari antarabangsa, Amirahman Abbas dan Sheikh Razak al-Masri yang akan bersama-sama mengalunkan selawat dan dianjurkan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyarankan agar majlis selawat dan munajat sentiasa diterapkan di seluruh negara bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai Islam.

Selain itu, beliau berkata ia selari dengan konsep Madani, perpaduan perlu dimanfaatkan secara bersama demi mengangkat martabat ‘karamah insaniah’ (menghormati martabat keinsanan dan maruah manusia).

Jelas Anwar, di samping usaha memperkasa segenap aspek, perkara asas perlu diutamakan sesebuah pentadbiran adalah keyakinan kepada Allah dan mendekati Rasulullah menerusi berselawat.

“Biar Malaysia Madani bermakna semarak umat supaya sentiasa berselawat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, selain menggunakan majlis seperti ini meningkatkan kefahaman dan ilmu kita,” katanya.

Program bertemakan ‘Mahabbah Rasulullah Asas Kejayaan Malaysia Madani’ itu berlangsung dari pukul 7 petang hingga 11 malam dan dihadiri ribuan umat Islam dari seluruh negara.

Acara berkenaan menampilkan barisan umarak dan ulama yang bersama-sama berselawat serta bermunajat demi Malaysia bagi mengeratkan silaturahim dan sebagai platform interaksi serta ramah mesra antara rakyat bersama Perdana Menteri.

Hadir sama pada majlis tersebut, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas