Berita

136,055 pelarian Filipina di Sabah dan Labuan direkodkan

- Diterbit 26 Mac 2024 10:34 AM MYT

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) telah mengenal pasti sejumlah 136,055 pelarian Filipina di sekitar Sabah dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustaffa berkata data tersebut diperolehi menerusi data semak silang dengan beberapa agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Jumlah tersebut dikenal pasti melalui data semak silang antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan ImigresenMalaysia (JIM) Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Pejabat Ketua Menteri Sabah.

“Daripada jumlah tersebut seramai 51,645 orang pelarian memegang dokumen IMM13, seramai 47,518 orang memegang Sijil Banci Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan manakala seramai 36,892 orang lagi memegang dokumen Resit Pengenalan Sementara Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta kerajaan menyatakan berapa bilangan serta apakah masa depan kehadiran pelarian Filipina di Sabah yang sudah berada di Sabah sejak awal tahun 1970an.

Menjelas lanjut, Zaliha berkata Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan memandang serius terhadap status dan masa hadapan golongan ini dan ia diterjemahkan melalui forum Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah yang terbahagi kepada dua iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal.

“Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri manakala di peringkat Jawatankuasa Teknikal pula dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertindak sebagai platform untuk meneliti dan merancang hala tuju pelarian Filipina di negeri Sabah.

“Jawatankuasa ini juga telah mengesyorkan agar pendataan semula dibuat terhadap mereka merangkumi pengambilan biometrik dan gambar untuk simpanan profil mereka yang terkini dan teratur bagi membolehkan kedudukan dan status mereka juga dikesan semula,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa ini juga memutuskan agar satu dokumen pengenalan diri tunggal diaplikasikan bagi memudahkan pengurusan pelarian Filipina di Sabah pada masa hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas