Kuala Lumpur

107 pengendali bas terima manfaat

DBKL memperuntukkan tambang sebanyak RM100 bagi setiap pelajar
- Diterbit 15 Mac 2024 9:10 AM MYT

INISIATIF kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan perkhidmatan MySchoolBus@Wilayah kepada pelajar sekolah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA), Perumahan Kos Rendah (KR) serta Perumahan Swasta Kos Rendah Terpilih (KSR) membawa banyak manfaat.

Tidak hanya tertumpu dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam kalangan miskin tegar, program ini juga menyaksikan peningkatan ekonomi kepada seramai 107 pengendali bas sekolah yang merupakan tunjang utama kepada perkhidmatan tersebut.

Pengendali Bas Kardin Entreprise, Kardin Baggu Khan berkata melalui program tersebut, dia dapat mencari dan menstabilkan semula sumber pendapatan setelah terjejas seketika susulan pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu.

Alhamdulillah melalui program ini dapatlah sedikit sebanyak membantu pengendali bas seperti kami mencari rezeki untuk keluarga selepas berdepan dengan situasi kos operasi penyelenggaraan yang tinggi.

“Hampir 10,000 pelajar menerima bayaran percuma disediakan DBKL sebanyak RM100 bagi setiap pelajar, jadi ia sangat menjimatkan dan membantu,” katanya duit tambang itu dibayar terus kepada pengendali bas sekolah yang dilantik.

Ditanya tentang sambutan yang diterima, Kardin berkata ia sangat menggalakkan dan berharap agar inisiatif ini terus disebar luaskan supaya lebih ramai mengetahui tentang program tersebut.

“Ada segelintirnya masih tidak tahu kewujudan insiatif ini malah mereka juga ingat ia berbayar, sebaliknya ia adalah perkhidmatan bas percuma yang tertumpu kepada golongan kurang berkemampuan (B40) termasuklah pelajar-pelajar dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah-sekolah pendidikan khas seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Terdahulu, Program Myschoolbus@Wilayah ini merupakan insiatif Pembasmian Miskin Bandar yang telah bermula sejak tahun 2017 dan telah mendapat permintaan memberangsangkan dengan peningkatan permohonan yang diterima setiap tahun.

Bagi meningkatkan lagi imej perkhidmatan bas tersebut, MySchoolBus@Wilayah tampil dengan gaya baharu dengan pelekat korporat di 221 kenderaan pelbagai jenis seperti bas besar, bas sederhana dan van.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata, ia adalah antara usaha dalam mempromosikan perkhidmatan berkenaan kepada warga kota dan berharap ia dapat membantu meringankan beban golongan sasar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas