Berita

1,000 warga B40 sekitar Cheras disantuni

|||
- Diterbit 4 Februari 2021 5:28 AM MYT

SEJUMLAH 1,000 keluarga dalam golongan B40  sekitar Parlimen Cheras, menerima sumbangan barang keperluan dapur dan beras hasil daripada Program MyBeras serta Food Basket yang telah dilaksanakan.

Bagi memastikan aspek pematuhan SOP diamal semua pihak, sesi mengagihkan bantuan kali ini dilakukan secara simbolik kepada 20 orang wakil penerima daripada pelbagai kaum, disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Beliau yang tiba kira-kira pukul 6 petang ke lokasi program, sempat meluangkan masa kira-kira satu jam menyantuni serta bertanya khabar penduduk yang hadir sambil ditemani Pengerusi MPPWP Zon Cheras, Datuk Mahadi Abd. Syukur.

Agihan bantuan hasil program MyBeras dan Food Basket itu diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2021, bagi peringkat Parlimen Cheras , yang diadakan di Dewan Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

Selain beras (5kg) melalui MyBeras antara barang keperluan lain turut disalur melslui Food Basket ternasuk tepung dan gula (2kg), minyak masak (2kg) air kordial, sardin, susu dan lain-lain yang dianggarkan bernilai RM50,000 dijangka dapat mengurangkan beban belanja isi rumah setiap penerima bantuan.

Pada majlis sama, Annuar turut serahkan topeng pelitup muka dan Limau Mandarin kepada setiap Pengerusi Sub Zon 1 hingga 6 Parlimen Cheras.

Program MyBeras dan Food Basket merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan melalui konsep Wilayah Prihatin khusus untuk membantu serta meringankan beban kelompok sasaran rakyat di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, sejumlah 20,000 hingga 30,000 kampit beras 5 kilogram disasarkan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diagih setiap bulan kepada golongan sasar rakyat melalui program MyBeras @Wilayah yang diperkenal hasil cetusan idea oleh Annuar sendiri. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas