Berita

Buat ujian saringan, cegah kanser dari awal – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 30 Okt -- Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan PUTRAJAYA, 30 Okt -- Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. 
Sebanyak 799 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat hari ini, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 30,889 kes manakala sebanyak 491 kes telah sembuh dan tiga kes kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian sebanyak 249 kes.
- Diterbit 4 Februari 2021 5:21 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) meminta orang ramai melakukan ujian saringan serta dinasihatkan supaya mengenali tanda dan gejala awal kanser bagi mengelakkan ia lewat dikesan selain peluang untuk sembuh yang lebih baik.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

“Peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (peringkat III dan IV) meningkat daripada 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Situasi ini adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.

Sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Feb bertemakan ‘I Am and I Will’ (Saya Akan dan Saya Boleh), bertujuan mengajak orang ramai untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa komited dalam menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

“KKM juga menyediakan perkhidmatan immunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk murid sekolah perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan immunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati.

“KKM turut menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma atau mendapatkannya di kemudahan swasta dengan kadar bayaran tertentu manakala bagi pesakit yang telah disahkan menghidap kanser, mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, KKM amat prihatin dengan kesihatan dan kesejahteraan pesakit kanser terutamanya semasa pandemik COVID-19.

“Ini kerana pesakit kanser mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding dengan orang lain dan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang serius.

“Oleh itu, KKM mengambil langkah kawalan yang ketat di semua kemudahan kesihatan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan semasa janji temu dan rawatan pesakit kanser selain memastikan mereka menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, kanser merupakan satu daripada penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif yang tinggi kepada pesakit, keluarga dan negara.

Beliau berkata jumlah kes kanser meningkat sebanyak 11 peratus pada tahun 2012 hingga 2016 berbanding tahun 2007 hingga 2011.

“Tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di negara ini ialah kanser payudara dengan 19 peratus diikuti kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).

“Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku iaitu 16.9 peratus dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus),” katanya.

Jelasnya, satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol.

“Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat kanser,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas