Berita

Hebahan info ABC-19, manfaatkan ribuan rakyat

SEBAHAGIAN daripada anggota petugas yang terlibat dalam pasukan ABC-19.
- Diterbit 14 Februari 2021 8:00 AM MYT

HEBAHAN maklumat dan informasi serba terkini disalurkan melalui program Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) memberikan lebih pemahaman kepada pelbagai lapisan rakyat seterusnya menghindari mereka daripada risiko jangkitan wabak itu.

Pendekatan strategik digembleng antara agensi kerajaan dengan persatuan penduduk setempat itu, antara usaha memperkasa komuniti dengan berkongsi pengetahuan serta memupuk budaya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan, Kolonel Effendy Ali, sejak dimulakan 4 Februari lalu, aktiviti hebahan ABC-19 berlangsung setiap hari telah menjelajah pelbagai lokasi penempatan mahupun kawasan tumpuan ramai sebagai fokus penerangannya.

KOLONEL Effendy Ali

Beliau berkata, kolaborasi di antara agensi APM, RELA, Jabatan Penerangan (JaPen), Persatuan Penduduk dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berfokus kepada menyebar luas informasi untuk rakyat serta menguatkuasakan pematuhan SOP sebagai norma baharu kehidupan.

“Program ABC-19 antara langkah membendung penularan COVID-19 secara menyeluruh libatkan komuniti setempat. Sejak bermula, dianggarkan berbelas ribu orang awam mendapat maklumat dihebah termasuk penduduk perumahan, pasar awam dan lokasi tumpuan ramai.

“Untuk hari ini, pelbagai lokasi terlibat antaranya Cheras, Pasar Kampung Pandan, Maluri, Pasar Pudu, Bazaria Kerinchi, Brickfield selain Pasar Keramat di Kuala Lumpur.

“Manakala Laman Duta, Presint 15, Flat & Taman Rekreasi, Presint 9 di Putrajaya dan dua lokasi di Labuan, Pasar Tani dan Terminal Feri juga terlibat dalam sesi ABC-19 hari ini,” katanya selepas sesi Penerangan dan Penguatkuasaan SOP ABC-19 di Kuala Lumpur, semalam.

ANTARA fungsi dan peranan pasukan ABC-19 memberikan penerangan berkaitan langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 dalam komuniti.

Secara keseluruhan, kekuatan Pasukan ABC-19 yang terlibat sepanjang hari ini terdiri 11 Pegawai dan 30 Anggota APM, RELA (39 Pegawai dan 69 Anggota) JaPen (16) dan Penguatkuasa PPj ( 5) selain 12 wakil Komuniti.

Effendy juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Wilayah Persekutuan turut mensihati orang awam memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan yang sedang melaksanakan tanggungjawab demi manfaat dan kebaikan bersama.

“Saling toleransi dan melengkapi satu sama lain instrumen penting untuk kita menang melawan pandemik COVID-19. Kalangan penguatkuasa ini tiada niat bertindak sebarangan terhadap awam, namun jika masih ada ingkar, kami tiada pilihan melainkan mengikut perundangan,” ujarnya yang komited inisiatif diambil melalui ABC-19 mampu melandaikan lengkuk kes baharu COVID-19. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas