Berita

YWP sediakan ribuan pek makanan kepada petugas barisan hadapan

ANNUAR menunjukkan pek makanan yang disediakan pihak YWP kepada golongan gelandangan yang ditempatkan di pusat transit sepanjang PKP. Turut kelihatan Zaizalnizam (tengah). Gambar NAZIRUL ROSELAN/Wilayahku
- Diterbit 4 April 2020 11:41 AM MYT

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama beberapa agensi menyediakan ribuan pek makanan setiap hari kepada petugas barisan hadapan di Wilayah Persekutuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, YWP dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga membekalkan pek makanan kepada
golongan gelandangan di ibu kota.

Beliau yang juga Pengerusi YWP berkata, setakat ini YWP membelanjakan sejumlah RM15 juta setiap tahun dalam pelbagai program antaranya pendidikan, bantuan bencana dan pinjaman kepada pembeli rumah yang tidak dapat pembiayaan daripada bank.

“Pada masa ini YWP mempunyai senarai 6,000 peminjam di bawah skim tersebut. Inilah sumbangan besar bagi membantu gol pendapatan rendah untuk membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam sidang akhbar secara live dari bangunan YWP di Kampung Baru hari ini.

Terdahulu Annuar mengadakan lawatan ke YWP dan mendengar taklimat berhubung program dan perancangan pihak yayasan tersebut.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Annuar berkata, sebagai organisasi kebajikan yang tidak berasaskan keuntungan, YWP turut menawarkan biasiswa kepada pelajar, bantuan Back To School dan program menambah pendapatan golongan miskin di Wilayah Persekutuan.

“Kita berazam untuk menjadikan YWP akan lebih aktif dan fokus dengan program yang boleh meningkatkan kebajikan dan memberikan pertolongan kepada mereka yang layak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas