Berita

Covid-19: Catat 150 kes baharu, kematian ke-57

PETUGAS barisan hadapan yang lengkap dengan pakaian PPE. Gambar hiasan
- Diterbit 4 April 2020 1:21 PM MYT

PUTRAJAYA – Bilangan pesakit positif Covid-19 bertambah 150 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 3,483 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, sebanyak 88 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh mencecah 915 pesakit.

Katanya, seramai 80 dari pesakit baharu dilaporkan itu terdiri dari kluster jemaah tabligh di Seri Petaling, Februari lalu.

“Seramai 99 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 50 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat pukul 12 tengah hari ini, empat kematian baharu dilaporkan menjadikan 57 kes keseluruhan.

“Kematian ke-54 adalah wanita berusia 85 tahun yang mempunyai sakit jantung manakala kes-55 membabitkan wanita 66 tahun dan sakit darah tinggi.

“Kes ke-56 dan 57, masing-masing leaki berusia 57 dan 61 tahun yang disahkan meninggal dunia semalam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas