Berita

Wilayah Cakna: Bayaran sudah disalur kepada 5,810 akaun penjaja

NORIZUWAN menyediakan hidangan utama di kiosnya mengikut permintaan pelanggan.
- Diterbit 4 April 2020 10:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memastikan bantuan yang telah diumumkan dalam inisiatif Wilayah Cakna dapat disampaikan kepada golongan sasaran dengan secepat mungkin.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini pembayaran tunai one off  RM500 telah berjaya dipindahkan kepada sebanyak 5,810 akaun penjaja.

Katanya, sejumlah 2,101 akaun didapati telah berjaya menerima bantuan wang tunai tersebut bernilai RM1.5 juta dengan 227 kes terpaksa ditolak untuk semakan semula manakala 3,482 lagi sedang dalam proses pelepasan di pihak bank.

Katanya, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 15,365 penjaja yang terdapat dalam rekod manakala sebanyak 6,398 daripada mereka telah menghubungi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

ANNUAR mahu setiap bantuan yang telah diumumkan pihak kementerian dapat segera disalurkan kepada penerima. Gambar NAZIRUL ROSELAN/Wilayahku

“Setelah kita mengumumkan banyak bayaran dan bantuan yang penting penyampaian kena cepat, penerima sudah seronok dengar berita tetapi duit tidak sampai.

“Jadi untuk agensi di bawah KWP, saya memantau perkara ini setiap hari. Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai yang bertugas, saya harap diteruskan
pemberian pek makanan yang diubah kepada pemberian tunai hendak disampaikan serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar secara live dari bangunan Yayasan Wilayah Persekutuan hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, bagi penduduk di Perumahan Awam Seri Johor melibatkan 2,341 unit, mereka akan menerima bayaran tunai mulai esok.

“Bantuan lain pada masa ini yang sedang dikendalikan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) setiap hari kita sediakan 1,800 pek makanan kepada barisan hadapan seperti petugas hospital, klinik, anggota polis dan tentera. Kita daripada CMC (Pusat Pengurusan Krisis) pantau untuk hantar bekalan makanan kepada
mereka,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, CMC juga sedang menghantar bekalan sebanyak 250,000 helai topeng muka kepada petugas barisan hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas