Berita

YWP cakna nasib warga kota terjejas

ZAIZALNIZAM (kanan) turun padang bagi memberi bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. ZAIZALNIZAM (kanan) turun padang bagi memberi bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam, baru-baru ini.
- Diterbit 24 Disember 2021 4:13 AM MYT

CAKNA dengan musibah yang melanda warga kota dan mangsa banjir di sekitar Lembah Klang, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turun menghulurkan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, menerusi tinjauan pihaknya, keadaan banjir di ibu negara dilihat semakin pulih.

“Ada mangsa yang sudah pulang ke rumah masing-masing untuk proses pembersihan.

“Walau bagaimanapun kita masih dan telah menghulurkan bantuan serta makanan di pusat-pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku selepas memberi bantuan makanan di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Zaizalnizam juga memaklumkan, pihaknya tidak menetapkan sebarang amaun khusus untuk perbelanjaan bantuan kepada mangsa banjir.

Jelasnya, peruntukan yang dikeluarkan adalah mengikut keperluan dalam memastikan penyaluran bantuan dapat disegerakan.

“Untuk pasca banjir pula kita akan menggerakkan sukarelawan bagi membantu proses pembersihan di rumah-rumah yang terjejas.

“Secara keseluruhan kita telah kerah seramai 500 orang sukarelawan ke lokasi terkesan di Kuala Lumpur dan Shah Alam bagi misi kali ini. Kita akan lihat keperluan bantuan dari semasa ke semasa,” katanya yang turut memberi fokus terhadap kawasan terjejas di Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa kebakaran di Flat Sri Johor turut mendapat perhatian pihak YWP dan bantuan makanan asas disalurkan di pusat pemindahan mereka.

“Keesokan pagi selepas kejadian itu, saya terus turun ke pusat pemindahan untuk
memastikan bekalan makanan dan barangan lain adalah mencukupi untuk semua mangsa.

“Pihak YWP juga menyumbangkan selimut, bantal dan keperluan lain dalam membantu meringankan beban mangsa,” ujarnya.

Jelasnya lagi, lapan keluarga terjejas akan menerima rumah ganti yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas