Berita

Bazar Kreatif buka lembaran baharu untuk Narima

PERNIAGAAN Shushi Wak memberi peluang kepada Narima kembali bernafas.
- Diterbit 24 Disember 2021 4:20 AM MYT

MENJALANKAN perniagaan di Kompleks Beli-Belah Berjaya Times Square sememangnya menjadi impian kepada semua peniaga kecil. Kompleks tersebut mempunyai gah yang tersendiri selain ia menjadi pusat pertemuan pelbagai lapisan masyarakat yang menjadikan kompleks tersebut sebagai pusat perhubungan.

Bazar Kreatif yang terletak di Tingkat 4 arah barat mengumpulkan lebih 100 usahawan yang bernaung di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) untuk membina pendiri perniagaan dalam kalangan anak muda sekali gus membina rangkaian usahawan muda di ibu kota.

Kewujudan Bazar Kreatif boleh diibaratkan sebagai ‘nyawa’ kepada usahawan baharu Narima Melati Abdullah Nazri, 35, yang menjalankan perniagaan Shushi Wak bermula Ogos lalu.

Menceritakan mengenai peluang yang diberikan, Narima menzahirkan kesyukuran kerana program UAMK ini membuka lembaran baharu di dalam kehidupannya.

“Selepas berhenti kerja di sebuah syarikat swasta, saya menyertai beberapa kursus dengan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Semasa menjalani latihan, ada seorang rakan yang memperkenalkan mengenai Bazar Kreatif dan program UAMK, dari situ saya memohon dan diluluskan untuk mencari rezeki melalui peluang berniaga di Bazar Kreatif,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Narima berkata, apa yang utama baginya, peluang berniaga di Kompleks Berjaya Times Square merupakan antara peluang terbaik yang pernah diterimanya.

“Sebagai peniaga kecil, saya sangat berbangga dengan peluang ini kerana bukan mudah untuk berniaga di sini kerana ia turut menempatkan jenama besar, malah saya turut merasai peluang bersaing dengan jenama Shushi terkenal yang turut di jual di kompleks ini.

“Jadi apabila saya menjalankan promosi dan meletakkan nama BTS sebagai salah satu cawangan, ia menjadi gah kerana lokasi dan prestij yang dimiliki kompleks ini,” katanya yang turut mempunyai dua cawangan di Titiwangsa dan Puchong.

Narima berkata, kelebihan kawasan ini juga merupakan faktor utama ramai rakan-rakan peserta lain bersemangat menjalankan perniagaan di sini kerana potensi yang ada.

“Kawasan ini sudah dikenali dan ramai keluarga yang datang kerana kawasan ini dan berpotensi meningkatkan jualan kami pada masa depan.

“Cumanya, ia mungkin masih baru dan saya berharap pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dapat melakukan promosi agar kawasan ini dikenali,” katanya.

Bercerita mengenai kelebihan lain, Narima berkata, program ini turut mengadakan kursus yang berkaitan dengan keusahawanan untuk pembangunan jangka masa panjang.

“Sebagai contoh, kami mendapat pengecualian sewa untuk enam bulan dan ada juga cadangan untuk menganjurkan kursus media sosial, jadi ini dapat membantu peniaga seperti saya.”

“Selain itu, peluang untuk promosikan barangan ini turut dilakukan oleh pihak penaja. Kalau di luar, saya kena promosikan sendiri dan sudah tentu kos nya agak mahal kerana semuanya perlu ditanggung sendiri berbanding dengan program ini, dan YWP dilihat berusaha untuk mempromosikan kawasan ini untuk lebih berdaya saing,” katanya.

Tambahnya, untuk meningkatkan jualannya, beliau akan menambah perisa Shushi dari 20 kepada 30 perisa dengan jualan RM1 untuk satu unit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas