Biz

YPKSEM, Vista Medical Group meterai MoU bangunkan pusat kesihatan dan dialisis komuniti

Pengerusi Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd, Datuk Khairul Shahril Hamzah (kiri) , Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (dua dari kiri) bersama Setiausaha Agong YPKSEM, Luqman Nor Hakim (dua Dari kiri) Dan Ketua Pegawai Operasi VMG, Dr. Asraf Mohd Safiuddin.
- Diterbit 8 September 2023 2:39 PM MYT

YAYASAN Pembangunan Komuniti dan Sosio Ekonomi Malaysia (YPKSEM) dan Vista Medical Group (VMG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)  untuk membangunkan pusat kesihatan dan dialisis komuniti sempena Pameran Ekspo Halal Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC) baru-baru ini.

Pengerusi YPKSEM, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, kerjasama tersebut bertujuan  meringankan beban pesakit yang kurang berkemampuan dalam membiayai kos perkhidmatan kesihatan dan hemodialisis .

Kedua-dua pihak  bersetuju untuk merangka perancangan terperinci bagi  mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.

“Menjadi hasrat yayasan membangunkan pusat dialisis untuk membantu  mengurangkan perbelanjaan mengendalikan pusat  dialisis yang meningkat saban tahun.

“Lebih daripada itu ia juga meringankan beban pesakit kerana pusat ini bukan bermatlamat menjana keuntungan.

“YPKSEM terpanggil membantu atas tanggungjawab sosial kepada  nasib individu yang  dikenalpasti mendapatkan rawatan hemodialisis yang besar kemungkinan menghadapi keterbatasan menjalankan tugas harian termasuk pekerjaan.

“Secara tidak langsung juga akan  menjejaskan sumber pendapatan keluarga ditambah dengan bebanan kos rawatan yang perlu ditanggung.

“Justeru  kerjasama dengan VMG untuk mewujudkan pusat kesihatan dan dialisis komuniti diharap mampu menyediakan pembiayaan khususnya kepada pesakit-pesakit yang terdiri daripada  golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Agong YPKSEM, Luqman Nor Hakim dan Ketua Pegawai Operasi VMG, Dr. Asraf  Mohd Safiuddin, disaksikan oleh Pengerusi YPKSEM Datuk Khairul Shahril Hamzah,  dan Pengerusi DPIM Putrajaya Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin.

Khairul menambah,  YPKSEM yakin hasrat tersebut dapat dijayakan dengan baik kerana  VMG mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan beberapa pusat dialisis dan klinik kesihatan di seluruh negara ketika ini.

Pengerusi Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd, Datuk Khairul Shahril Hamzah (kiri) , Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (dua dari kiri) bersama Setiausaha Agong YPKSEM, Luqman Nor Hakim (dua Dari kiri) Dan Ketua Pegawai Operasi VMG, Dr. Asraf Mohd Safiuddin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi VMG, Dr. Asraf  berkata, lebih 850 juta individu di seluruh dunia menghidap penyakit buah pinggang kronik.

“Di negara ini sahaja, dianggarkan seramai 4.6 juta rakyat  dengan nisbah 1 daripada 7 orang kini merupakan pesakit buah pinggang kronik.

“Peningkatan penyakit kronik khususnya kencing manis berkait rapat dengan peningkatan komplikasi  penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) iaitu daripada 6.3 peratus pada tahun 1996 kepada 17.5peratus pada tahun 2015.

“Saban tahun kos perbelanjaan yang tinggi dibelanjakan oleh kerajaan untuk rawatan ini. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sahaja merekodkan jumlah kos rawatan sejumlah RM334.67 juta pada tahun lalu dan dijangka meningkat lebih RM500 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang. Bagaimana pun pembiayaan ini hanya meliputi kepada kos rawatan dialisis bagi Orang Berinsurans di bawah Perkeso.

“Terdapatnya golongan yang kurang berkemampuan terpaksa membiayai sendiri di peringkat awal kos rawatan hemodialisis sementara permohonan pembiayaan atau bantuan diluluskan sama ada di bawah PERKESO atau lain-lain agensi kerajaan seperti bantuan zakat dan sebagainya.

Situasi ini  memberi bebanan yang tinggi kepada mereka.

“Sehubungan dengan itu melalui kerjasama dengan YPKSEM, diharap dapat meringankan tanggungan pesakit dan keluarga,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas