Berita

YBM agih 500 tablet kegunaan pelajar miskin di seluruh Negara

NAZZI Beck menyerahkan tablet percuma kepada salah seorang murid yang memerlukan sambil disaksikan Mustapa (kanan) dan wakil Community Taylor's College
- Diterbit 11 Mac 2021 4:09 PM MYT

SESI serahan tablet secara percuma kepada pelajar dalam Program Peranti Kasih diadakan di Ibu Pejabat YBM, Kuala Lumpur, hari ini.

SEJUMLAH 500 unit tablet Samsung Tab A-8.0, diagih secara percuma kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan di seluruh Malaysia bagi membolehkan mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Inisiatif dilaksana Yayasan Belia Malaysia (YBM) hasil tajaan oleh CIMB Islamic itu, mensasarkan pelajar benar-benar memerlukan terutama dalam kalangan keluarga B40 dengan adik-beradik yang ramai, sukar mengambil bahagian dalam proses pembelajaran secara atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa Othman berkata, program Peranti Kasih dijayakan hasil kerjasama strategik pihak korporat prihatin terhadap keperluan pelajar miskin seluruh negara yang tidak berkemampuan untuk memiliki peranti berkenaan untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Beliau berkata, sebanyak 150 daripada 500 tablet tersebut akan diagihkan kepada pelajar miskin di sekitar Lembah Klang yang telahpun dikenalpasti hasil kerjasama YBM dengan Community Taylor’s College serta dibantu pihak pengurusan sekolah.

“Peranti akan diagih dalam masa terdekat secara berperingkat, dijangka serahanya selesai bulan ini (Mac) kepada pelajar yang memangnya layak dan memerlukan untuk mengikuti sesi PdPR, namun tidak mampu dari segi kewangan untuk membeli.

“Jadi usaha murni tajaan oleh CIMB Islamic yang memperuntukkan lebih RM300,000 sebagai satu inisiatif ringankan beban pelajar miskin daripada keluarga B40 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dikenalpasti memerlukannya untuk pembelajaran,” katanya dalam Program Peranti Kasih – Bantuan Tablet Percuma di Ibu Pejabat YBM, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Serantau, Inisiatif & Strategik CIMB Islamic, Nazzi Beck dan wakil Community Taylor’s College.

Sementara itu, Mustapa menjelaskan, sepanjang tempoh 2020 sehingga Mac tahun ini sejumlah RM500,000 diperuntuk oleh CIMB Islamic bagi menjayakan program kebajikan bersama YBM antaranya Misi Bantuan Banjir di Pahang, Bantuan Basikal Percuma Untuk Pelajar Sekolah dan terkini, Program Peranti Kasih Bantuan Tablet Percuma untuk 500 pelajar miskin di seluruh negara. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas