Berita

Yayasan Sime Darby taja biasiswa hampir RM300juta sejak ditubuhkan

|
- Diterbit 4 Disember 2020 2:20 AM MYT

YAYASAN Sime Darby (YSD) telah memberikan biasiswa kepada 4,460 pelajar yang bernilai lebih RM300 juta sejak penubuhannya pada tahun 1982.

YSD telah menetapkan lima inisiatif yang menjadi tunjang kepada yayasan ini iaitu pendidikan, alam sekitar, komuniti dan kesihatan serta seni dan budaya.

Dalam laporan tahunan YSD 2020, Pengerusi YSD Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata, pencapaian yang besar ini berkat kemurahan hati syarikat Sime Darby Berhad, Sime Darby Plantation Berhad and Sime Darby Property Berhad.

“Sumbangan itu telah membantu kami menjayakan projek-projek Corporate Social Responsibility (CSR) yang telah membantu memberikan manfaat kepada orang ramai yang memerlukan,”ujarnya.

Di bawah tunjang Pendidikan, sebanyak 4460 biasiswa telah diperuntukkan bernilai RM289.9 juta yang melibatkan pelajar dalam dan luar Malaysia melalui tiga kategori biasiswa pendidikan iaitu Kecemerlangan, Peningkatan Kemahiran dan Kurang bernasib baik.

Untuk rekod, selama lebih 40 tahun, YSD telah berjaya melahirkan individu-individu yang berbakat seperti Professor Datin Paduka Dr. Soo Teo Hwang yang merupakan penerima biasiswa YSD tahun 1998 yang menamatkan pengajian di University of Cambridge dan telah dianugerahkan penghormatan Order of the British Empire (OBE).

Beliau merupakan Ketua Pegawai Saintifik di Cancer Research Malaysia (CRM) yang mengetuai usaha melawan kanser di Asia.

YSD akhir-akhir ini telah menghulurkan lagi bantuan mereka kepada golongan kurang bernasib baik (OKU) serta B40 di peringkat pengajian tinggi dan juga kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha memberikan peluang pendidikan yang adil serta melahirkan kumpulan bakat muda yang pelbagai dalam tenaga kerja di Malaysia pada masa hadapan.

Dalam usaha mengurangkan lagi jurang dalam pendidikan, YSD mensasar untuk menyediakan kanak-kanak dan belia yang terpinggir kepada akses dalam pendidikan.

Usaha ini turut menyasarkan kanak-kanak dan remaja dari Yayasan Chow Kit, kanak-kanak autism di IDEAS Autism Centre, dan pelajar kurang bernasib baik di bawah program Pra-Pendidikan Tinggi bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

YSD diuruskan oleh pasukan yang berdedikasi dan bekerja rapat bersama tiga syarikat Sime Darby demi mencapai kepentingan bersama. – OLEH AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas