Berita

eWayang Bantu Jana Pendapatan Penerbit, Artis Dan Masyarakat

Presiden PFM, Pansha (Dua dari kiri)menyampaikan cenderahati kenangan kepada Pengasas eWayang.com, Ismahanum sambil diperhatikan oleh Zahrin (kiri) dan Azmi (kanan).
- Diterbit 4 Disember 2020 12:09 AM MYT

BUKAN sahaja terhibur dengan pelbagai pilihan genre filem, malah anda mampu jana duit atau pendapatan melalui platform eWayang.

eWayang yang dicetuskan semasa berlakunya pandemik COVID-19 kini boleh menarik nafas lega kerana telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dalam usaha membantu penerbit dan mendapatkan pengisian filem di dalam platform tersebut. 

 eWayang, sebuah platform penstriman video baharu,  bukan sahaja menawarkan kepada pengguna untuk menonton filem-filem tempatan kegemaran mereka tetapi juga dapat menjana pendapatan dengannya.

Pengarah Urusan eWayang, Azmi Ismail berkata, objektif platform eWayang turut membantu penerbit, pelakon atau sesiapa sahaja.

“Perbezaan ketara platform eWayang dengan platform penstriman video lain adalah sesiapa sahaja yang menonton filem di eWayang boleh menjana pendapatan menerusi ‘referral’.

“Sebagai contoh, anda beli tiket untuk tonton wayang di eWayang, anda akan mendapat ‘referral link’ yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan, keluarga atau di media sosial. 

“Sekiranya rakan anda berminat dan menonton filem menerusi ‘referral links’ anda, anda akan mendapat komisen RM1.

“Bukan penonton sahaja dapat menjana pendapatan, tetapi penerbit dan juga pelakon turut boleh menjana pendapatan sampingan, sekali gus menjadikan situasi menang-menang antara orang ramai dan juga penerbit,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara eWayang dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) pada 2 Disember baru-baru ini.

Turut hadir ialah Presiden PFM, Pansha, Pengasas eWayang.com, Ismahanum Ismail dan Setiausaha Agung PFM, Zahrin Aris.

Presiden PFM, Pansha (Dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kenangan kepada Pengasas eWayang.com, Ismahanum sambil diperhatikan oleh Zahrin (kiri) dan Azmi (kanan).

Tiada Caj Tersembunyi

Setiap penerbit yang menayangkan filem mereka di platform eWayang tidak dikenakan sebarang caj tersembunyi dan setiap pembelian tiket pihak penerbit akan mendapat 50 peratus daripada harga tiket.

“Harga tiket untuk filem di eWayang berharga RM15 sahaja dan keuntungan setiap tiket akan dibahagi sama rata iaitu 50%-50%, jadi RM7.50 kepada penerbit dan RM7.50 kepada eWayang.

“Pihak eWayang juga akan menyalurkan RM1 setiap tiket kepada tabung COVID-19, maknanya penonton bukan sahaja dapat tonton filem tetapi juga dapat membuat amal,” katanya.

AZMI Ismail berharap eWayang mampu membantu penerbit, artis dan masyarakat yang terkesan dengan COVID-19

Selain itu, pihak eWayang juga tidak akan berhenti menyalurkan sumbangan sekiranya COVID-19 berakhir sebaliknya akan meneruskan kerja-kerja amal dengan menyalurkan bantuan kepada badan atau persatuan lain pula selepas ini.

Ketika ini, eWayang sudah pun menayangkan lapan buah filem dan bakal menayangkan lebih banyak lagi filem dalam masa terdekat ini.

Antara filem terbaru yang bakal ditayangkan di eWayang adalah Khurafat, Saya Amat Mencintaimu, Spinning Gasing, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, Jadi Juga, Kastil Tua, Senjakala di Manado, Bara dan Ciliwung Gudnite.

PENGURUS Projek eWayang.com, DJ Pool berharap penerbit, artis dan masyarakat ambil peluang ini untuk kebaikan bersama.

Penonton bukan sahaja boleh membeli tiket untuk sebuah filem sahaja, tetapi juga boleh membeli tiket untuk beberapa buah filem serentak menerusi pakej kombo yang ditawarkan yang mana harganya lebih murah.

Setiap pembelian tiket, penonton boleh menonton filem dalam tempoh 48 jam tanpa had. 

Jangan lepaskan peluang ini! Hanya dengan RM15 anda boleh berhibur sambil jana pendapatan. Untuk info lanjut boleh layari www.eWayang.com atau instagram @ewayangonline. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas