Berita

Wujudkan ruang ketiga di kawasan PPR/PA

- Diterbit 18 Disember 2020 5:55 AM MYT

KERAJAAN perlu mewujudkan ruang ketiga yang boleh digunasama untuk penduduk di kawasan rumah pangsa termasuk projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA).

Ia bertujuan untuk memberikan lebih banyak aktiviti untuk golongan wanita, remaja dan kanak-kanak dijalankan di kawasan itu memandangkan unit rumah yang disediakan kecil.

Pensyarah Kanan Jabatan Senibina, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, apabila ruang sangat terhad di dalam rumah, maka masalah penderaan rumah tangga berbentuk seksual mudah terjadi kerana faktor ruang yang terhad.

“Perkara yang berkaitan dengan masalah rumah sempit ini menjadi masalah dan sehingga kini tiada penyelesaian.

“Perumahan lama yang disediakan dahulu hanya ada dua bilik tidur dan ibu bapa duduk di dalam satu bilik, dan anak perempuan pula satu bilik manakala anak lelaki pula akan tidur di ruang tamu dengan keluasan hanya 450 kaki hingga 500 kaki persegi,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Mohd Zairul, mengikut statistik mereka yang menghuni di kawasan ini sangat produktif dan memiliki anak yang ramai.

“Sudah pasti dengan tempat yang sempit ia tidak kondusif untuk pembangunan kanak-kanak dari sudut pergaulan walaupun adik beradik ia masih tidak sesuai.

“Mereka juga mudah terdedah dengan masalah lain ekoran keadaan yang tidak selesa,” katanya.

Mohd Zairul berkata, ruang ketiga itu boleh dibina di bawah kolong-kolong rumah flat yang ada di ibu kota dengan melakukan sedikit pengubahsuaian agar ia boleh digunakan.

“Sebagai contoh, kita tahu bahawa golongan wanita dan suri rumah menghadapi tekanan dan stres dalam urusan harian, maka ruang ketiga ini boleh menjadi pusat sosial untuk mereka.

“Ia juga boleh digunakan sebagai pusat aktiviti untuk pembelajaran dan sebagainya,” katanya.

Katanya, masalah penderaan rumah tangga kurang berlaku kerana kebanyakan ibu bapa bekerja pada siang atau malam hari dan anak-anak boleh menggunakan ruang yang ada.

“Tetapi apabila PKP dilaksanakan, semua anggota keluarga diwajibkan berada di rumah dan masalah mula timbul kerana masalah ruang yang sempit,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa dan wakil rakyat harus menjadikan kewujudan ruang ketiga di kawasan rumah pangsa sebagai keutamaan dalam membantu pembangunan kondusif sesebuah keluarga.

“Mereka mempunyai peruntukan tertentu dan ia boleh disalurkan untuk  mewujudkan ruang ketiga seperti itu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas