Berita

Kukuh hubungan keluarga dengan aktiviti kerohanian

ABDUL RAHMAN
- Diterbit 18 Disember 2020 6:02 AM MYT

SUMBANG mahram adalah hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang atau dilarang oleh adat resam.

Contohnya hubungan jenis antara remaja dengan ibu bapa mereka, adik beradik,
ibu bapa saudara, datuk dan sebagainya, sumbang mahram telah dikenalpasti sebagai sejenis penganiayaan seksual yang merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial.

Dari sudut pandangan Islam, perlakuan sumbang mahram ini dilaknati oleh Allah SWT.

Antara punca peningkatan sumbang mahram yang dikenal pasti adalah akses yang mudah ke laman-laman pornografi terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Kerana itu, menurut Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, perlakuan terkutuk ini boleh dicegah dengan mengadakan aktiviti keagamaan
bersama keluarga.

“Hubungan dalam Islam mengajak ahli keluarga solat jemaah bersama atau menonton majlis ilmu secara online kerana ia merupakan sebahagian daripada cara untuk menyelamatkan keluarga dari terjebak dengan perkara buruk tersebut,” katanya kepada Wilayahku.

Untuk mengelakkan kejadian sumbang mahram, jelas Abdul Rahman, ibu bapa
perlu mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan di rumah.

“Selain itu, kita semua perlu menjaga batas-batas pakaian di rumah walaupun bersama mahram,”ujarnya.

Sementara itu, penceramah terkenal, Ustaz Elyas Ismail mengatakan bahawa terdapat beberapa punca mengapa isu sumbang mahram ini semakin berleluasa.

“Pertama sekali, keadaan dan suasana di dalam rumah itu sendiri terutamanya keadaan rumah yang sempit dan keduanya, tahap pendidikan yang rendah dan kurang pendedahan tentang ilmu agama,” katanya .

“Seterusnya akibat pergaulan yang tidak dibendung maknanya perlu mendidik anak-anak tentang bahagian badan yang tidak boleh disentuh sesuka hati walaupun oleh ibu dan bapa sendiri.

“Nabi Muhammad SAW ada mengajarkan soal kejantinaan kepada anak-anak di mana diperintahkan anak untuk mendirikan solat seawal umur tujuh tahun dan pukul mereka untuk tujuan mendidik ketika usia 10 tahun dan dipisahkan tempat tidur mereka dalam Hadis Riwayat Imam Ahmad,” ujarnya. – AFIFAH AFIZAL

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas