Berita

Wisma Putra sedia bantu bawa pulang Jho Low – Hishammuddin

- Diterbit 26 November 2020 6:34 AM MYT

WISMA Putra sedia membantu membawa pulang Low Teak Jho atau Jho Low ke negara ini sekiranya lokasinya telah dikesan, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata tidak ada sebab untuk pihaknya tidak berbuat demikian sekiranya keberadaan ahli perniagaan yang dalam buruan itu dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya sehingga kini lokasi ahli perniagaan itu tidak dapat dipastikan, termasuk sama ada beliau berada di China seperti yang disebut RSN Rayer (PH-Jelutong) ketika mencelah sesi penggulungannya mengenai perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Satu, kita tak tahu sama ada dia berada di China, kedua sekiranya pihak PDRM maklumkan kepada Wisma Putra kedudukan sebenar beliau, tidak ada sebab mengapa Wisma Putra tidak boleh membantu untuk membawanya balik untuk dihadapkan kepada penghakiman,” katanya.

Mengenai celahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung isu penuntut Malaysia yang dikatakan tidak dibenarkan balik ke kampus masing-masing di China sedangkan sesi pembelajaran telah bermula, Hishammuddin berkata perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Bersandarkan pendirian Kementerian Luar, kita akan terus berhubung, membincangkan dengan China berhubung kait pelajar-pelajar ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai pelarian Rohingya dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam negara, Hishammuddin mengulangi bahawa penghantaran balik dan penempatan semula mereka ke negara ketiga merupakan keutamaan yang diletakkan di kedudukan paling tinggi di Wisma Putra.

“Kita akan terus beri penekanan melalui platform ASEAN supaya Myanmar melaksanakan cadangan-cadangan bersama-sama UNHCR, kerana sebelum ini kita terima pelarian ini atas jaminan UNHCR bahawa mereka akan diletakkan di negara-negara ketiga.

“Perkara ini mesti kita teruskan dan kita akan gunakan pelbagai platform secara bilateral dengan Bangladesh dan Myanmar, secara serantau dengan ASEAN, secara multilateral dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan dengan negara sependapat dengan kita seperti Indonesia, untuk mencari cara penyelesaian kepada masalah Rohingya ini,” katanya.

Menyentuh isu COVID-19, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Luar, selain semua petugas barisan hadapan yang berkerja keras dalam membebaskan negara dari pandemik itu.

Katanya, semasa kemuncak pandemik ini, Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang 26,870 rakyat Malaysia ke tanah air hasil usaha dan kerja keras sekitar 300 orang ‘Front Liners’ di Wisma Putra serta Perwakilan-perwakilan Malaysia di seluruh dunia yang beroperasi tanpa mengenal waktu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas