Berita

Warga PA Seri Johor serbu ‘Happy Hour’ MyGrocer@Wilayah

JUALAN rakyat MyGrocer@Wilayah di PA Seri Johor petang tadi mendapat sambutan menggalakkan daripada warga setempat.
- Diterbit 14 Julai 2022 1:54 PM MYT

MYGROCER@WILAYAH di Perumahan Awam (PA) Seri Johor hari ini diserbu penduduknya yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan basah pada harga subsidi sempena Happy Hour, petang tadi.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, rata-rata penduduk berkumpul seawal pukul empat petang untuk menantikan pembelian ‘Happy Hour’ bagi ayam segar dan telur ayam dengan harga murah memandangkan ia adalah program pertama diadakan pada harga subsidi.

“Melalui program ini, setiap isi rumah dapat menjimatkan perbelanjaan mereka sehingga 14.29 peratus bagi setiap pembelian seekor ayam dengan harga subsidinya sebanyak RM3 manakala RM0.50 untuk 10 biji telur ayam.

“Selain itu, barangan keperluan harian dan barangan basah lain seperti ikan, sayur-sayuran, sotong dan barangan makanan kering juga dijual pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada harga di pasar awam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah di PA Seri Johor petang tadi diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun serta agensi-agensi di bawahnya.

Dalam pada itu, Shahidan memberitahu sebanyak 1,707 kupon turut diedarkan kepada setiap Ketua Isi Rumah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mereka menikmati pembelian barangan bersubsidi dalam bulan yang sama dari tarikh penerimaan kupon sepanjang tempoh jualan rakyat berlangsung.

“Kupon ini diedarkan melalui YWP dan Persatuan Penduduk mengikut zon masing-masing yang mana ia juga membenarkan setiap penerima membeli satu barang bersubsidi di lokasi jualan berdasarkan first come first served basis.

“Saya berharap agar program yang dilaksanakan dengan kerjasama YWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini dapat membantu warga Wilayah Persekutuan terutamanya golongan B40 dalam menangani kos sara hidup sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka,” katanya yang turut mengatakan program ini melibatkan peruntukan sejumlah RM3.48 juta.

Tambahnya lagi, kira-kira 147 ribu penduduk yang tinggal di 59 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan PA akan menerima manfaat pelaksanaan program ini termasuk warga kota di Labuan yang turut mendapat manfaat sekali sebulan bagi tempoh enam bulan bermula hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas