Berita

Verstappen catat rekod paling banyak menang dalam satu musim F1

- Diterbit 31 Oktober 2022 7:54 AM MYT

PEMANDU Red Bull Racing Max Verstappen mencatat sejarah dengan merekod kemenangan terbanyak dalam satu musim Formula Satu (F1) susulan kemenangannya di Grand Prix Mexico pada Ahad.

Verstappen menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 38 minit dan 36.729 saat pada Kejohanan Dunia F1 2022.

Pemandu Belanda itu yang sudah pun dijamin gelaran pemandu musim ini, mencatat kemenangan ke-14 peribadinya — kemenangan Grand Prix terbanyak dalam satu musim, lapor Agensi Anadolu.

Rekod 13 kemenangan dipegang bersama oleh Michael Schumacher dan Sebastian Vettel.

Bintang Belanda itu juga mencatat rekod pemandu baharu dengan mengumpul 416 mata untuk satu musim, melepasi 413 mata Lewis Hamilton yang dicatat pada 2019.

“Kejayaan luar biasa. Kepantasan kereta ini sangat baik. Kami terpaksa menjaga tayar,” kata Verstappen mengenai kemenangan bersejarahnya.

Pemandu Mercedes Lewis Hamilton menduduki tempat kedua +15.186 saat manakala rakan sepasukannya Sergio Perez ketinggalan +18.097 saat di belakang Verstappen.

Verstappen mendahului kedudukan dengan 416 mata. Rakan sepasukannya Perez di tempat kedua dengan 280 mata manakala pemandu Ferrari, Charles Leclerc di tempat ketiga dengan 275 mata.

Bagi kategori pasukan, Red Bull Racing mendahului senarai dengan 696 mata diikuti Ferrari di tempat kedua dengan 487 mata dan Mercedes ketiga dengan 447 mata.

Perlumbaan seterusnya dalam kalendar musim 2022 ialah Grand Prix Brazil di Autodromo José Carlos Pace di Sao Paulo pada 13 Nov. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas