Berita

Usah pecah belah keharmonian rakyat

HAL berkaitan raja-raja tidak boleh disentuh dalam meraih undi kerana raja-raja adalah berkecuali daripada politik.
- Diterbit 11 Ogos 2023 12:00 AM MYT

SEMUA pihak dilarang ­untuk menyentuh isu ­berkait 3R (­agama, kaum dan raja) ­bagi ­meraih undi dalam pilihan raya kerana ia adalah isu sensitif yang cukup menyentuh perasaan ­pengundi ­lebih-lebih lagi ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

ZULQARNAIN

Bercakap ­mengenai ­perkara itu, Peguam, Dr Zulqarnain Lukman ­berkata isu tersebut ­sangat melekat ­kepada mereka yang baru ­menjadi ­pengundi dan belum ­menggunakan pertimbangan dengan sewajarnya.

“Pengundi akan marah kepada satu pihak yang lain dan ­akhirnya memberi undi kepada mereka. Begitu juga, isu ini akan termakan kepada pengundi luar bandar yang mungkin tidak terdedah dengan ­suasana ­masyarakat majmuk dan hanya hidup dalam kalangan satu bangsa sahaja.

“Oleh kerana itulah ­pihak ­pembangkang nampak ­sangat galak memainkan isu 3R ini ­meskipun telah dilarang oleh ­pihak polis khususnya bagi PRN 2023 ­kerana mereka tahu isu ini cukup berpengaruh.

“Sebagai contoh, kita hidup ­sebagai satu masyarakat ­majmuk perlu ada toleransi kaum dan ­budaya yang mana perlu saling ­percaya dan mempercayai. Kita telah ­melihat ­kesan peristiwa 13 Mei 1969 apabila diuar-uarkan bangsa Cina telah menguasai Semenanjung yang ­akhirnya menyebabkan berlakunya pertempuran antara kaum.

“Begitu juga, hal agama adalah hal sensitif selain hal berkaitan ­raja-raja juga tidak boleh disentuh kerana ­raja-raja adalah berkecuali ­daripada politik. Raja adalah ­payung bagi seluruh rakyat dan bukan ­untuk ­parti-parti tertentu,” ujar ­beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau, bagi ­mengatasi hal itu, pihak berkuasa ­perlu ­tegas untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang ada untuk mengelakkan daripada isu tersebut dimanipulasikan.

“Maksud bertegas ini ­adalah ­pihak berkuasa seperti pihak ­polis perlu segera menangkap ­pihak yang memainkan isu ini dan ­menahan ­reman mereka bagi membuat ­siasatan. Masyarakat yang tidak matang tidak tahu bahawa kata-kata mereka itu akan mencetuskan masalah perkauman.

“Dalam masa yang sama, ­pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ­juga perlu bertindak pantas untuk menurunkan apa-apa status di ­media sosial yang membangkitkan isu ini dan menyekat pemilik media sosial daripada membuat hantaran lain.

“Selain itu, pihak Peguam Negara juga perlu segera mendakwa ­mereka yang terlibat untuk menjadi pengajaran selain pihak mahkamah perlu mengutamakan perbicaraan kes seperti ini. Jika ­terbukti, perlu mengenakan hukuman yang berat ke atas pesalah bagi menjadi ­satu pengajaran yang disebut sebagai ­hukuman deteren, iaitu hukuman yang akan mencegah orang lain ­daripada meniru perbuatan yang ­sama,” tegas beliau.

Kata beliau lagi, sudah sampai waktunya kerajaan memperkenalkan satu akta yang mencegah perbuatan untuk mengapi-apikan perkauman, bangsa, agama dan raja-raja di ­mana akta ­seperti itu dikenali sebagai Akta Anti Kebencian Tutur Kata (Anti Hate Speech Law).

Terdahulu, akta berkaitan 3R adalah Akta Hasutan 1948 yang mencegah perbuatan ­untuk ­melakukan kecenderungan menghasut untuk membangkitkan perasaan kebencian kepada raja, institusi kehakiman, kerajaan dan lain-lain selain Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan membuat hantaran jelek di media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas