Berita

Tujuh jalan ditutup sempena Thaipusam

- Diterbit 22 Januari 2024 10:21 PM MYT

TUJUH jalan di sekitar Batu Caves, Selangor ditutup bermula 10 malam ini sehingga Sabtu sempena sambutan Thaipusam.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penutupan tersebut adalah susulan seramai dua juta pengunjung dijangka mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves sepanjang tempoh perayaan itu.

“Penutupan ini juga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.

“Antara jalan yang terlibat adalah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Stesen (Pintasan Batu Caves), susur dari arah bulatan Batu Caves (MRR2) menghala ke Kuil Batu Caves dan susur dari arah Gombak (MRR2) menghala ke Kuil Batu Caves.

“Selain itu, simpang tiga Jalan SBC8 / Jalan Lama Batu Caves, Jalan Perusahaan menghala ke kuil Batu Caves dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2,” katanya.

Tambahnya, orang ramai digalakkn untuk menvgunakan pengangkutan awam susulan tambang percuma Rapid KL dan tren komuter pada 24 dan 25 Januari ini.

“Pengunjung dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif (menghala ke Batu Caves) selain meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hussein berkata seramai 1,600 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan serta keselamatan orang ramai, selain beberapa pusat kawalan statik turut disediakan.

“Penggunaan dron di kawasan kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves ketika tempoh sambutan Thaipusam oleh mana-mana pihak adalah dilarang sama sekali.

“Anggota polis akan berada di tempat yang dijadualkan dan memantau keadaan dari semasa ke semasa, sebarang aktiviti yang menghalang lalu lintas atau mengadakan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas