Berita

TLDM sahkan penularan H1N1, namun masih terkawal

- Diterbit 20 Disember 2019 7:37 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengesahkan penularan wabak Influenza A (H1N1) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Cawangan Komunikasi Strategik TLDM berkata, walaubagaimanapun, penularan wabak tersebut terkawal dan semua anggota masih bertugas seperti biasa.

Katanya, sebarang kenyataan rasmi berkaitan wabak ini hanya akan dikeluarkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“TLDM mengesahkan bahawa wabak berkenaan telah melanda Pangkalan TLDM Lumut. Namun, masyarakat awam tidak perlu khuatir kerana masih terkawal.

“Penularan bermula pada awal bulan ini apabila dua pegawai TLDM dijangkiti influenza H1N1 setelah pulang daripada bercuti di Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany menyatakan beberapa warga TLDM Lumut sahaja yang disyaki mempunyai simptom seakan jangkitan H1N1.

Mohd. Reza dalam laporan itu juga menjelaskan pihaknya mengesyaki ia adalah jangkitan H1N1 dan menguarantin mereka yang terbabit sebagai langkah berjaga-jaga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas