Berita

Negara Islam masih ketinggalan, perlu gandakan usaha-Tun M

|
- Diterbit 20 Disember 2019 7:51 AM MYT

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, negara Islam masih jauh ketinggalan dan bergantung kepada ciptaan serta teknologi yang dihasilkan negara bukan Islam.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa negara Islam menggandakan usaha untuk merapatkan jurang kemajuan teknologi dengan negara-negara lain.

Selain itu ujar beliau, negara Islam perlu mula berusaha ke arah mencipta dan membangunkan teknologi sendiri supaya dapat seiring dengan negara-negara maju.

“Jika kita tidak mula mencipta dan membangunkan teknologi sendiri, maka selamanya kita akan berada di belakang negara-negara maju.

“Kita tidak ada pilihan kecuali mula berusaha ke arah ini,” katanya semasa sesi meja bulat dan perbincangan di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur(KL Summit) 2019 di sini semalam.

Presiden Iran Dr. Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengambil bahagian dalam sesi itu di samping Dr Mahathir itu.

Bercakap pada sesi yang bertajuk ‘Keutamaan Pembangunan dan Cabaran’, Perdana Menteri Malaysia berkata, negara-negara Islam tidak ada pilihan selain bangkit dan berkembang maju secepat mungkin sekiranya mereka berhasrat untuk memulihkan segala bentuk malapetaka yang menimpa ummah pada masa ini.

“Kita telah bercakap dengan panjang lebar berhubung keadaan negara-negara Muslim. Walaupun kita mungkin tidak dapat mengasingkan sepenuhnya segala perkara yang telah menyebabkan keperitan dan kesengsaraan, namun kebanyakan bersetuju bahawa ia berpunca daripada ketidakupayaan kita mengejar perkembangan dan kemajuan orang bukan Islam yang telah meninggalkan kita dalam keadaan sukar dan terabai,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menekankan keperluan menangani gangguan yang disebabkan kemajuan teknologi supaya tidak ketinggalan apabila adanya teknologi baru muncul.

“Kemajuan teknologi yang pesat ini juga mengancam serta menjadikan beberapa strategi dan rancangan yang kita lakar hari ini, usang dalam masa beberapa tahun sahaja.

“Hari ini kita menyaksikan hampir setiap hari, bagaimana teknologi canggih dan kemajuan ekonomi yang berusia hanya beberapa tahun lepas, menjadi tidak lagi relevan di samping mengakibatkan beberapa segmen tenaga kerja kita juga menjadi tidak lagi relevan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas