Berita

Che Ta tidak tahu tentang notis bankrap

- Diterbit 24 Januari 2024 5:33 PM MYT

PELAKON jelita Rozita Che Wan mengaku tidak tahu menahu mengenai penyebaran notis isytihar bankrap yang didakwa dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam.

Jelas Rozita atau Che Ta, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana konsisten membuat bayaran setiap bulan melalui agen yang dilantik.

“Tuduhan merepek, kalau betul mesti saya dapat dahulu notis tersebut. Saya tidak terkejut sebab tidak pernah lari daripada membayar cukai.

“Saya buat pembayaran cukai menerusi agen hampir RM50,000 secara peribadi untuk sebulan. Apapun saya saya serahkan perkara ini  kepada ejen yang dilantik,” kata Che Ta.

Che Ta mengakui sebelum ini dia pernah berdepan dengan masalah berkenaan cukai pada 2014 apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke luar negara.

“Saya pernah berdepan isu cukai sampai di tahan di lapangan terbang, tetapi itu lama dahulu sekarang saya memang bayar cukai. Saya tidak mahu layan benda ini kerana bukan masalah saya,” katanya.

Che Ta ditemui pada majlis pelancaran produk baharu  keluarannya iaitu Serum  Cekang Jelita dibawah jenamanya by RCW di sini hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas